Tips Pemakanan Yang Saya Amalkan Untuk Turun Berat Badan

Anda pernah baca sebelum ini yang saya berjaya turunkan berat badan hampir 18kg keseluruhan. Kalau anda belum baca, boleh klik di sini.

 

Hari ini, saya nak berkongsi dengan anda beberapa tips pemakanan yang saya amalkan untuk membantu saya turunkan berat badan.

 

Kata kunci di sini ialah “saya”, maka ia membawa maksud tips ini berkesan untuk saya. Mungkin ia bukan cara yang terbaik, tetapi cukup untuk bawa perubahan yang memuaskan bagi saya sendiri.

 

Anda boleh cuba untuk gunakan cara yang sama. Jika berkesan, syukur pada Tuhan. Jika tidak berkesan, anda boleh cuba lagi (jangan mudah mengalah).

 

Kursus Kecergasan 2021

Makanan

Sasaran utama semasa kita berdiet untuk turunkan berat badan ialah mencari cara untuk mengurangkan rasa lapar.

 

Yang menyebabkan kita gemuk juga adalah sifat kita yang susah nak mengawal perasaan lapar. Maka, saat kita laparlah kita mula mencari macam-macam makanan. Jika kita pilih makanan rendah kalori, tak apa lagi. Ini, pilihan kita semasa lapar biasanya makanan berkualiti rendah yang tinggi dengan kalori.

 

Untuk makanan, tips yang saya amalkan ialah, saya akan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Hampir setiap kali masa makan, saya akan pastikan sayur atau buah di atas pinggan saya mengambil ruang majoriti berbanding karbohidrat.

 

Ada kala saya hanya makan sayur-sayuran yang diletakkan bersama beberapa perencah (tapi memang sedap), dimasukkan juga bersama protein seperti telur rebus atau ayam. Jika saya nakkan karbohidrat sedikit, saya masukkan roti bakar sekeping yang dipotong-potong ke dalam mangkuk salad saya.

 

Susah nak buat pilihan sayur apa yang nak dijadikan salad? Pergi sahaja ke pasaraya seperti CS (itu yang saya pergi), dan beli aneka sayur salad yang sudah siap dibungkus dalam satu pek. Anggaran harga sekitar RM5-6 sepeket, tetapi tahan untuk 3 kali makan (bagi saya).

 

Tujuan saya lebihkan sayur dan buah adalah kerana ia memberi sensasi kekenyangan. Malah, makanan-makanan ini tinggi dengan fiber dan ia akan mengembang apabila ia masuk ke dalam perut kita, menjadikan kita rasa lebih kenyang.

 

Minuman

 

Mungkin ramai tak bersetuju dengan apa yang saya minum ketika saya nak kurus, tetapi itulah yang saya lakukan. Saya banyak meminum minuman berkarbonat yang menggunakan pemanis tiruan, lantas jumlah kalorinya adalah kosong.

 

Saya memilih air berkarbonat kerana kandungan “gas” yang ada dapat membantu untuk memberikan lebih sensasi kekenyangan. Cuba minum secawan sebelum makan, memang potong banyak selera makan selepas itu. Kira tidak terlalu ingin memakan banyak sangatlah.

 

Kemudian, kerana kandungan kalorinya yang kosong, ia menjadi pilihan saya berbanding meminum minuman main yang lain di luar sana. Saya boleh juga pilih minuman kosong (seperti kopi ‘o’ kosong), tetapi masa ketika itu saya masih membiasakan diri untuk kurang memilih benda manis. Maka, pilihan yang lebih baik antara kopi ais dan minuman berkarbonat kosong kalori, anda rasa yang mana?

 

Kesimpulan

 

Semua ini hanyalah tips yang saya sendiri amalkan. Ia mungkin berkesan untuk anda, mungkin tidak.

 

Ada orang makan sayur, akan rasa lebih lapar. Ada orang minum minuman berkarbonat, perut pula tak selesa sepanjang masa. Jadi, apa yang anda boleh cuba ialah dapatkan sebanyak info yang boleh dan amalkan yang paling sesuai dengan diri anda sendiri.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: