Boleh Ke Lemak Bertukar Menjadi Otot?

Dalam dunia angkat berat, terdapat banyak mitos. Ada yang kata, lemak boleh bertukar menjadi otot. Ada yang kata, lakukan sit-up sahaja boleh mengurangkan perut buncit dan banyak lagi. Ini sebenarnya perlu dibincangkan menerusi kaedah saintifik. Apakah benar semua ini?
Artikel ini akan fokus pada satu mitos sahaja: Tukarkan lemak jadi otot. Bolehkah lemak bertukar menjadi otot? Mari kita sama-sama pelajari.
Sebelum itu, ada satu kepastian tentang hubungan lemak-otot ini, iaitu latihan beban dapat membakar lemak dan mengembangkan otot. Bukan kardio sahaja yang dapat membakarkan lemak, ya!
Terdapat satu kajian yang dilakukan oleh da Mota et al. (2010) menegaskan adanya hubungan di antara latihan beban dan pembakaran lemak.
Memang benar pergi ke gim dan mengangkat berat itu sekali gus membakarkan lemak di badan kita. Bukan membakar lemak sahaja, selepas pembakaran lemak itu juga otot kita akan tumbuh dan berkembang.
Jadi, jikalau anda melakukan latihan beban, jangan risau tentang pembakaran lemak. Itu pasti akan berlaku.
Sekiranya begitu, adakah ini bermaksud kita tidak perlu melakukan kardio?
Tidak, kardio tetap bermanfaat kerana ia memberikan kelebihan-kelebihan lain yang tidak ada pada latihan beban.
Contohnya, kardio menambah baik kesihatan jantung kita. Selain itu, kardio juga membakar lemak dengan lebih pantas berbanding latihan beban. Ia menambah baik julat pergerakan pada tubuh badan kita. Dengan itu, kapasiti aerobik badan kita akan lebih baik dan lentur.
Cara yang terbaik adalah dengan menggabungkan kedua-duanya sekali, iaitu latihan beban dan kardio untuk mendapatkan kesan yang signifikan dan optimum.
Baik, berbalik kepada persoalan utama artikel ini.
Adakah lemak boleh bertukar menjadi otot?
Secara literalnya, tidak boleh. Lemak dibentuk berdasarkan sel-sel yang berbeza dengan otot. Amat mustahil untuk lemak itu bertukar menjadi otot.
Secara metaforanya pula, boleh. Lemak itu boleh ditukarkan menjadi otot dengan cara kita membakar lemak terlebih dahulu dan melatih otot sehingga tumbuh menjadi besar.
- Bakar lemak
- Tumbuh otot
Untuk menukarkan lemak menjadi otot itu terdiri daripada dua langkah, bukannya satu langkah yang disekalikan.
Kita perlu membakar lemak dengan kardio, latihan beban dan sebagainya.
Pada masa yang sama, kita perlu lakukan latihan kekuatan untuk menumbuhkan otot.
Bagaimana hendak membakar lemak?
- Makan dengan seimbang. Semua nutrisi perlu seimbang mengikut piramid makanan. Selain daripada itu, pengambil kalori juga perlu dalam keadaan defisit. Gunakan kalkulator kalori untuk mengira pengambilan kalori harian badan kita. Jangan lupa untuk konsisten dalam defisitkan pengambilan kalori harian.
- Bersenam dengan kerap. Anda boleh melakukan kardio hari-hari. Bagi latihan beban pula, anda digalakkan amalkan 3-4 kali seminggu.
Bagaimana hendak tumbuh otot?
- Latihan beban dengan konsep ansur maju. Setiap kali latihan beban, anda perlu lakukan lebih intens berbanding sesi sebelumnya. Otot yang dicabar dengan beban yang lebih hebat akan berkembang dan tumbuh lebih kuat dan besar.
- Pilih senaman yang menyasarkan keseluruhan serat otot. Anda digalakkan untuk melakukan senaman yang berbentuk kompoun, iaitu senaman yang melibatkan lebih daripada satu kumpulan otot. Contohnya, bench press, squat, deadlift dan sebagainya. Lebihkan senaman-senaman kompoun berbanding isolasi.
- Rehat dengan cukup. Anda tidak wajar memaksa otot anda setiap hari. Anda boleh terdedah kepada kecederaan. Otot anda memerlukan rehat. Selepas satu sesi senaman yang berat, otot anda memerlukan kira-kira 72 jam untuk rehat. Maka manfaatkanlah waktu tersebut untuk rehat dan tidur secukupnya. Otot anda berkembang dan menguat ketika ia berehat.
- MAKAN! Cukupkan pengambilan karbo untuk tenaga dan protein untuk pertumbuhan otot. Anda tidak seharusnya tinggalkan keperluan makanan untuk perkembangan otot anda.
Akhir
Secara biologinya, lemak anda tidak boleh secara ajaibnya bertukar menjadi otot. Yang anda boleh adalah membakar lemak dan membina otot.