Bolehkah Makan Terlalu Banyak Protein Menyebabkan Kegemukan?

Kita tahu yang hukum termodinamik diambil kira untuk mengawal berat badan kita. Dalam kata mudah, kemasukan kalori mempengaruhi kebolehan kita untuk turun atau naik berat badan. Mudahkan lagi? Lagi banyak kalori masuk sampai melebihi keperluan, lagi susah untuk turun berat.

 

Soalnya sekarang, adakah memakan protein dalam kadar yang tinggi sehingga melebihi keperluan kalori harian boleh menyebabkan kegemukan? Ramai sudah bertanya soalan ini, saya cuma nak berkongsi satu dapatan baharu (bagi saya).

 

Kursus Kecergasan 2021

 

Baca dahulu artikel sebelum ini dengan menekan di sini untuk dapatkan info tambahan lagi.

 

Makan Sampai 5.5g Protein Per Kilo Berat Badan

 

Selalunya, orang akan suruh makan 2-3g protein per kilogram berat badan. Saya sendiri amalkan sekitar 1-2g sahaja, agak rendah untuk membina otot tetapi itu yang saya mampu setakat ini. Tetapi, dalam kajian ini mereka meminta subjek kajian memakan sehingga 5.5g protein per kilogram berat badan!

 

Nota untuk semua, kajian tersebut dilakukan bertujuan untuk mengkaji kesan pengambilan protein yang tinggi terhadap komposisi badan. Adakah ia berbahaya kepada organ dalaman sehingga menjejaskan kesihatan? Itu kita simpan untuk topik yang lain pula.

 

Kajian tersebut dicipta dengan rangka yang mudah. 30 individu lelaku dan perempuan diasingkan secara rawak kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan diarahkan untuk kekalkan rutin latihan dan pemakanan yang sama, manakala sekumpulan lagi diminta untuk teruskan juga rutin yang sama cuma perlu tambahkan 4.4g protein per kilogram berat badan dalam pemakanan harian (mencecah 5.5g protein per kilogram).

 

Apabila dikira, kumpulan tinggi protein ini mengambil lebihan kira-kira dalam 800kcal lebih daripada kumpulan kawalan (yang memakan cara biasa).

 

Apa Berlaku Selepas 8 Minggu

 

Kajian yang dijalankan selama 8 minggu kini telah memberikan satu jawapan. Bagi situasi yang telah dijana dalam kajian tersebut, mereka dapati yang kumpulan tinggi protein, meskipun memakan lebih 800kcal daripada kumpulan satu lagi, tidak mengalami kenaikan berat badan langsung.

 

Tapi, kenapa tak naik langsung? Kalau tak naik lemak pun, tak mungkin tak naik otot? Apakah tindakan melebihkan protein tak menyebabkan otot kita semakin membesar? Persoalan yang menarik, saya juga tertanya benda yang sama.

 

Penjelasan yang diberikan ialah, meskipun kemasukan protein bertambah secara drastik, tiada perubahan pada komposisi badan terutamanya otot kerana tiada perubahan pada rutin latihan mereka. Dan, seperti kita tahu, untuk membina otot kita memerlukan adaptasi kepada latihan yang semakin lama semakin sukar.

 

Patutlah kumpulan tersebut tidak mengalami perubahan komposisi badan, sebab mereka diarah untuk kekalkan cara latihan yang sama sepanjang kajian dijalankan. Jadi, kalau makan sahaja tanpa latihan pun tidak dapat membuahkan hasil yang diingini rupanya.

 

Kesimpulan

 

Untuk membina otot, anda memerlukan protein dan anda memerlukan usaha untuk berlatih dengan keras. Anda kena sentiasa berlatih untuk lakukan lebih baik daripada sesi sebelumnya. Paling penting, anda kena selalu cabar diri untuk kalahkan versi anda yang lama. Barulah ada adaptasi terhadap badan anda untuk otot membesar dan lemak terbakar.

 

Protein boleh disimpan menjadi lemak badan, tetapi agak sukar kerana proses yang diperlukan untuk menukarkan protein kepada lemak adalah banyak. Dalam proses untuk mencerna protein sahaja sudah memerlukan tenaga yang tinggi. Sebab itulah ramai mengambil protein yang banyak semasa berdiet kerana ia dapat bantu untuk menurunkan lemak dan menahan jisim otot daripada terbakar sebagai tenaga untuk aktiviti harian.

 

Menjawab persoalan hari ini, anda tak perlu risau sangat tentang protein menjadikan anda gemuk. Tetapi, anda tak perlu juga ambil sampai 5.5g protein per kilogram berat badan, kerana kosnya sudah pasti tinggi. Jika anda individu biasa yang mengangkat besi untuk kepuasan diri, cukup sekadar anda kekalkan sekitar 2-3g protein per kilogram berat badan.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: