Henyak Sampai Lunyai: Pencen Latihan Awal

Kalau anda biasa menatal aplikasi TikTok, mungkin anda biasa dengar nama Azri Walter, ataupun tagline beliau, “henyak sampai lunyai” diakhiri dengan ketawa sinis. Saya minat dengan pemikiran beliau yang mendorong anak muda untuk beri 100% dalam kehidupan jika golongan ini ingin mengecepai kejayaan.

Bagi beliau, selagi umur masih muda, selagi bertenaga, selagi badan terkandung nyawa, jangan sesekali mengalah dan berputus asa. Kehidupan ini hanyalah permainan pengurusan risiko. Siapa yang berani ambil risiko, maka dia berada selangkah ke hadapan daripada individu yang pengecut.

Kursus Kecergasan 2021

 

Artikel sebelum ini juga menarik untuk anda baca. Tak sempat baca lagi? Cuba klik di sini untuk putar kembali masa dan baca yang itu dahulu.

 

Apa Kaitan Dengan Latihan

Sekarang, baru saya nak masuk ke topik kecergasan. Adakah kita boleh terapkan pemikiran yang sama ke dalam latihan kecergasan dan sukan kita? Henyak sampai lunyai, kiranya pergi berlatih dalam keadaan gembira dan pulang dalam keadaan hampir mati. Patutkah kita amalkan begitu?

Baik, jika anda baca beberapa perenggan yang pertama tadi, saya ada nyatakan yang kehidupan merupakan permainan pengurusan risiko. Untuk mengecapi sesuatu, semestinya perlu ada risiko dan semakin besar risiko yang dihadap, maka semakin besar ganjaran yang boleh diperoleh. Itulah realiti kehidupan, bukannya skim cepat kaya tanpa risiko.

Dalam latihan juga berlaku perkara yang sama di mana kita perlu mengira risiko daripada latihan dan program yang kita lakukan. Paling penting sekali, andaikan risiko yang kita jangkakan menjadi kenyataan, adakah kita mampu untuk harungi dengan tenang dan kembali semula makin kuat?

Sebagai contoh, jika anda nak mulakan sebarang perniagaan, anda perlu amati dahulu jika anda masih boleh teruskan kehidupan andaikata anda kerugian keseluruhan modal yang dikeluarkan. Kalau jawapannya ya, maka jalankan sahaja perniagaan tersebut. Andaikan tidak, maka tunggu dahulu dan buat persediaan lagi.

 

Masih Tak Nampak?

Kaitkan dengan latihan, jika anda lakukan senaman itu dan ini, sebanyak itu dan ini, selama itu dan ini, adakah anda boleh teruskan latihan andainya badan anda barai beberapa sesi kemudian? Adakah anda boleh terus tambah intensiti atau bebanan yang digunakan sambil mengekalkan tahap fokus yang baik? Jika anda tercedera, bolehkah anda kembali pulih dalam masa yang paling singkat untuk teruskan kembali latihan anda?

Benda ini harus diambil kira, bukannya terus menerus menghentam (ataupun henyak) badan anda sampai lunyai. Ramai orang baru dalam dunia latihan melakukan cara sebegini kerana mereka risau badan mereka akan susut dan kekuatan akan menurun jika tak beri 101% dalam latihan (melebihi kemampuan untuk mengekalkan teknik yang baik).

Saya juga pernah lalui fasa yang sama. Lama-kelamaan, saya perasan yang kemajuan saya semakin tersekat dan susah untuk saya menambahkan intensiti dalam latihan saya. Ini yang dinamakan sebagai plateau dalam latihan. Sebab apa? Sebab saya tak beri ruang kepada badan saya untuk sesuaikan dengan bebanan yang digunakan dan saya tak berikan masa yang cukup kepada badan saya untuk berehat. Majoriti masalah ini berlaku kerana sifat ego dalam diri kita yang tak mahu kalah.

 

Tapi Jangan Pula Berlatih Cara Cap Ayam

Dah kata jangan henyak sampai lunyai, ada pula yang beri alasan sebegitu untuk berlatih secara santai. Tak apalah kalau anda memang berniat nak berlatih santai tanpa ada sebarang tujuan spesifik dalam sukan yang melibatkan angkat besi sebegini. Tapi, jika anda seorang individu yang sudah komited untuk capai sebarang sasaran kecergasan, mana boleh berlatih leha-leha.

Masuk gym senyum, keluar gym terlebih senyum. Macam mana boleh jadi macam itu? Oh, rupanya pergi ke gym sebab boleh berlatih dengan kawan-kawan sahaja sambil bersembang. Bukan nak berlatih betul-betul sangat, tapi lebih kepada nak melepak.

Ataupun, mungkin pergi ke gym sebab boleh jumpa jodoh di sana. Sebab itu balik daripada gym pun masih boleh tersenyum, dapat sudah nombor telefon orang yang diminati.

Saya tak mahu menghukum orang sebegini kerana itu adalah pilihan masing-masing. Cuma, teguran ini ditujukan khas kepada yang inginkan kemajuan dalam latihan mereka. Anda kena ada program latihan yang boleh mendorong anda ke arah kejayaan, dan paling penting anda kena fokus dengan program anda.

Kesimpulan

Jangan henyak sampai lunyai, tapi jangan pula buat cara cap ayam. Anda masih kena berkerja keras, tetapi biarlah bijak dalam berkerja (dan berlatih). Kejayaan datang pada mereka yang berani ambil risiko dan masih hidup untuk meraikan kejayaan mereka.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: