Bruce Lee TIDAK PERNAH Kalah dengan Mahaguru Silat
Dari dulu kita mendengar bahawa Bruce Lee pernah mencabar seorang mahaguru silat untuk berlawan. Cabaran tersebut adalah untuk menguji kehebatan silat itu sendiri. Namun, Bruce Lee dikatakan kalah. Disebabkan itu, beliau telah mempelajari ilmu persilatan dan memasukkan sedikit elemen seni bela diri tersebut ke dalam seni bela diri ciptaannya, iaitu Jeet Kune Do. Lebih buruk lagi, Bruce Lee didakwa meninggal dunia selepas terkena serangan berbisa daripada mahaguru silat yang dilawan sebelum itu.
Sebagai ringkasan, ketahuilah bahawa kisah ini tidak benar sama sekali. Memang benar Bruce Lee pernah berjumpa dengan mahaguru silat dari Malaysia untuk bertukar pandangan tentang seni bela diri, tetapi tidaklah sampai berlawan dan mengakibatkan beliau meninggal dunia. Beliau pernah belajar silat kerana beliau memang pengkaji seni bela diri dunia. Jeet Kune Do itu pun merupakan kombinasi banyak seni bela diri. Jadi, tidak peliklah sekiranya beliau pernah menuntut ilmu persilatan.

Kematian Mengejut Bruce Lee
Dalam satu buku biografi Bruce Lee yang dikarang oleh Matthew A. Polly, iaitu Bruce Lee: A Life, menulis bahawa Bruce Lee meninggal dunia akibat kebengkakan pada otak. Pada satu hari, 20 Julai 1973, Bruce Lee mengadu sakit kepala. Beliau segara dibawa ke hospital. Sampai sahaja di hospital, beliau disahkan telah meninggal dunia.
Dr. Peter Wu yang menguruskan beliau berkata, beliau mengidap penyakit cerebral edema. Terdapat beberapa teori mengapa Bruce Lee mengidap cerebral edema, antaranya disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan. Beliau dilaporkan memang ada mengambil ubat tahan sakit, iaitu Equagesic. Tetapi, ahli sains forensik yang ditugaskan untuk menganalisis tubuh badan Bruce Lee, Donald Teare telah menafikan dakwaan tersebut.
Pandangan lain pula mengatakan Bruce mengidap strok haba. Memang strok haba boleh menyebabkan cerebral edema, kata Polly. Selain daripada ini, Bruce Lee dikatakan mengisap ganja kerana terdapat ganja ditemui dalam pemilikannya.
Namun, kajian terkini, iaitu pada tahun 2022, melaporkan bahawa Bruce Lee meninggal dunia kerana minum terlalu banyak air. Disebabkan badan tidak boleh menerima air lagi, maka berlakukan kebengkakan pada otak. Ini adalah kerana ketika Bruce Lee mengadu sakit kepala, beliau mengalami sawan dan akhirnya pengsan. Beliau pun meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan. Beliau meninggal dunia pada umurnya 32 tahun. Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Bacaan lanjut: Bruce Lee’s Death: Details of His Sudden Passing 50 Years Ago
Hubungan Bruce Lee dan Silat
Hakikatnya, Bruce Lee pernah mempelajari seberapa banyak seni bela diri yang beliau mampu. Jangan kata silat, beliau juga pernah mempelajari savate, iaitu satu seni bela diri dari Perancis. Savate merupakan tinju gaya Perancis. Sebab itu savate mendapat julukan sebagai French Boxing.
Bruce Lee bukan sekadar seorang pelakon yang mempersembahkan keindahan dan kehebatan seni bela diri, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan beliau merupakan seorang pengkaji tentang seni bela diri. Macam-macam seni bela diri di dunia ini yang beliau pernah pelajari. Untuk menyedari hakikat ini, kita perlu membaca buku-buku beliau dan biografi tentang beliau. Kita akan terkejut bahawa, tidak pernah lagi kita jumpa seorang manusia yang sangat obses dengan ilmu seni bela diri. Kalau ilmu agama itu ramai yang kita pernah jumpa, tetapi ilmu seni bela diri?
Bruce Lee Kalah dengan Mahaguru Silat dari Malaysia
Ada dua versi, sama ada Bruce Lee kalah dengan Dato’ Meor Rahman atau Dicky Zulkarnain. Dalam satu dokumentari tentang silat (tahun 1987), Dicky Zulkarnain mengakui bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan Bruce Lee. Tetapi, hakikatnya Dato’ Meor Rahman pernah.
Sebahagian daripada cerita Bruce Lee berjumpa dengan Dato’ Meor adalah benar. Sebahagiannya sahaja. Tidaklah semuanya palsu belaka. Yang palsu mana? Yang palsu ialah mereka berdua berlawan dan Dato’ Meor melepaskan satu serangan berbisa yang bernama Kipas Nandung. Serangan inilah yang menyebabkan Bruce Lee meninggal dunia. Cerita ini adalah satu penipuan sejarah. Tiada dalam mana-mana buku biografi Bruce Lee menceritakan hal ini.
Yang benarnya pula? Yang benarnya, memang Bruce Lee pernah berjumpa dengan Dato’ Meor. Tetapi, mereka tidak berlawan. Mereka hanya saling bertukar pandangan tentang ilmu seni bela diri. Memang benar, Dato’ Meor transit di satu lapangan terbang di Hong Kong dan Bruce Lee mengambil peluang menemuinya. Ketika itu, Bruce Lee sedang mengusahakan satu filem tentang seni bela diri dan menawarkan Dato’ Meor satu watak untuk berlakon. Namun, Dato’ Meor menolak tawaran tersebut.
Habislah cerita. Tiada perlawanan, tiada pertempuran. Mereka sekadar berjumpa sebagai orang dewasa dan berbincang tentang ilmu. Sepatutnya, kita mengambil semangat keinginan untuk mewacanakan ilmu, bukannya berbangga dengan cerita Bruce Lee kalah dengan mahaguru silat.
Kesimpulan
Konsensus dalam kalangan ahli sejarah mengatakan kisah Bruce Lee kalah bertempur dengan mahaguru silat adalah tidak benar sama sekali. Ini telah melanggar logik dan situasi pada ketika itu. Tiada benda yang boleh menyokong asas cerita tersebut.
Baca tentang cara-cara menumbuk sejauh 1 inci yang dipopularkan oleh Bruce Lee di sini: Sains di Sebalik Tumbukan 1 Inci oleh Bruce Lee

