Cara-cara Jay Cutler Bina Otot Dada yang Padu
Jay Cutler merupakan bekas atlet bina badan profesional dari Amerika Syarikat. Beliau pernah menjuarai empat kali Mr. Olympia, iaitu pada tahun 2006, 2007, 2009 dan 2010. Jika anda tidak biasa dengan nama Jay Cutler, cukuplah anda mengenali Ronnie Coleman. Nah, beliau ini satu zaman dengan Ronnie Coleman.
Coleman pun pernah mengalahkan Cutler empat kali sebelum Cutler bergelar juara pada tahun 2006. Jadi, boleh dikatakan bahawa Cutler berasal daripada generasi zaman kegemilangan sukan bina badan. Semua tokoh berasal daripada zaman tersebut.
Selepas bersara, Cutler banyak memberi tunjuk ajar kepada para pemula sukan bina badan. Ini dapat dilihat menerui saluran Youtube beliau. Jika anda mahu membina otot secara serius, anda tidak boleh tidak mengabaikan nasihat dan pandangan daripada seorang legenda yang bernama Jay Cutler ini.
Cutler pernah mengongsikan bagaimana beliau membina otot dada yang padu.
Pada 30 April 2022, beliau memuat naik satu video yang bercerita berkenaan empat latihan wajib untuk membina otot dada yang padu.
Empat senaman wajib tersebut ialah:
- Incline Hammer Strength Machine Chest Press
- Dumbbell Chest Press
- Cable Standing Flye
- Dumbbell Flye
Incline Hammer Strength Machine Chest Press
Hampir setiap gim di Malaysia ini mempunyai Chest Press Machine. Ketahuilah bahawa Jay Cutler memulakan latihan dadanya dengan Chest Press Machine dahulu. Senaman ini menyasarkan otot keseluruhan dada, trisep dan sedikit bahu.
Secara umumnya, senaman ini menguatkan daya tolak. Jika kita merupakan seorang ahli seni mempertahankan diri, senaman ini secara tidak langsungnya menyumbang kepada penambahan kekuatan daya tumbuk kita.
Dumbbell Chest Press
Menurut Jay Cutler, ini merupakan senaman kegemarannya. Kata beliau lagi, jikalau anda memerlukan hanya satu senaman untuk membina otot dada yang padu, maka Flat Dumbbell Chest Press adalah jawapannya!
Ini kerana anda tidak dihadkan dengan pergerakan yang telah ditetapkan oleh mesin. Anda mengangkat beban bebas, maka ketika anda menolak beban ke atas, anda boleh melenturkan otot dada dengan baik untuk menggalakkan perkembangannya.
Cable Standing Flye
Jay Cutler akan melakukan flye menggunakan kabel dengan beban yang berat. Makna kata, latihan ini tidak diamalkan secara volume tinggi, tetapi sebagai heavy. Ini adalah senaman yang tepat untuk menyasarkan otot dada secara keseluruhannya.
Dumbbell Flye
Jay Cutler akan menghabiskan senaman dada dengan dumbbell flye berserta posisi bangku incline. Ini adalah untuk menyasarkan otot bawah dada dan keliling dada.
Dengan kombina keempat-empat senaman yang dibentangkan, anda akan dapat membina otot dada secara penuh.
Kesimpulan
Otot dada merupakan otot yang paling diidam-idamkan oleh semua orang baik pemula mahupun yang sudah lama membina badan. Jadi, Jay Cutler telah berkongsi rahsianya membina otot dada yang padu. Menariknya, kita boleh amalkan senaman-senaman ini dengan beban paling berat atau beban biasa, tetapi volume latihan yang tinggi. Kedua-dua metode ini membawa manfaatnya yang tersendiri.