Coklat Gelap Dan Bina Badan

Aiman Radzi - Coklat Gelap Dan Bina Badan

Saya bukanlah penggemar coklat, tetapi saya suka belikan coklat untuk orang lain (faham-fahamlah). Walaupun begitu, saya masih memakan coklat sekali-sekala biarpun dalam fasa diet untuk mengurangkan berat badan. Sebabnya, dahulu saya pernah mendengar yang coklat membantu untuk membina otot. Jadi, saya pun mula makan coklat, cumanya mungkin salah jenis sahaja.

 

Coklat yang saya maksudkan yang boleh membantu untuk membina otot adalah jenis coklat gelap (dark chocolate). Dulu, saya dengar-dengar sahaja. Tetapi, selepas membaca satu artikel daripada laman T-Nation, saya berasa lebih yakin. Jom kita baca tentang coklat gelap!

Kursus Kecergasan 2024

Myostatin dan Follistatin

Dua nama ini boleh diibaratkan sebagai suis kepada pembinaan otot. Myostastin berfungsi untuk menghadkan pembinaan otot, manakala follistatin pula bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhaan otot. Kedua-duanya berlawanan antara satu sama lain. Amnya, anda ingin lebihkan follistastin dan meminimumkan myostastin.

 

Pernah lihat kes-kes di mana ada haiwan-haiwan yang kelihatan sangat berotot (seperti lembu, anjing, kanggaro), ataupun budak-budak kecil yang berotot dan sado. Ini terjadi kerana defisit dalam myostatin, dan diibaratkan mereka kekurangan halangan untuk membina otot. Pendek kata, kerana mereka kurang myostatin (hasil daripada genetik), mereka akan terus-menerus membina otot dengan mudah kerana tiada suis atau penghadang untuk menghadkan pertumbuhan otot.

 

 

Tiba Pula Epicatechin!

Kelebihan utama coklat gelap datangnya daripada satu kompaun flavonol yang dikenali sebagai epicatechin. Bahan ini adalah bahan semula jadi yang wujud dalam coklat gelap. Epicatechin bertindak sebagai penghalang kepada myostatin dan pendorong follistastin. Maksudnya, anda boleh meningkatkan suasana anabolik untuk membina otot dengan memakan coklat gelap kerana anda merendahkan myostatin!

 

 

Kajian Terhadap Tikus

Ada satu kajian yang dilakukan terhadap tikus dengan memberikannya makan epicatechin. Apa yang mereka dapati ialah kadar testosterone dalam darah tikus tersebut meningkat. Ini berlaku melalui stimulasi terhadap kelenjar pituitari yang selanjutnya akan merangsang rembesan beberapa hormon lain (GnRH dan LH) untuk meningkatkan produksi hormon testosterone.

 

 

Coklat Gelap Dan Bakar Lemak

Kalau anda sedang dalam fasa untuk turunkan berat badan, saya rasa anda boleh cuba coklat gelap untuk bantu proses tersebut. Kajian daripada Belanda mendapati epicatechin meningkatkan rembesan hormon ghrelin yang turut meningkatkan perasaan kekenyangan. Ini sangat berguna jika anda sering berasa lapar. Dengan mengambil sedikit coklat gelap beberapa kali sehari, mungkin anda dapat kurangkan perasaan ingin makan dan ini memelihara anda daripada terlajak pengambilan kalori.

 

 

Tekanan Darah Turut Terkesan

Dahsyat epicatechin ini sebab banyak rupanya kesan dia terhadap diri kita! Salah satu kesan memakan coklat gelap adalah penurunan tekanan darah melalui pengembangan saluran darah. Ini memudahkan dan melancarkan peredaran darah serta penyerapan nutrisi oleh sel-sel yang lain (terutama sel otot untuk menyerap nutrien-nutrien seperti protein). Coklat gelap turut meningkatkan tahap nitric oxide yang berkait rapat dengan kebolehan untuk menampakkan lagi urat-urat jika anda berada pada paras peratusan lemak yang rendah!

 

 

Berapa Banyak Boleh Makan?

Kalau anda hendak cuba memakan coklat gelap, perkara pertama anda harus pastikan ialah membeli coklat yang terdiri daripada 70% cocoa atau lebih. Coklat yang lebih tinggi cocoa bermaksud ia memiliki kandungan epicatechin yang lebih tinggi. Cuba makan 40-50 gram coklat gelap sehari.

 

Semua ini masih dalam kajian, tetapi untuk pengetahuan anda juga, coklat gelap (cocoa) mengandungi kandungan mineral yang tinggi (terutamanya magnesium) dan ini turut membantu rangsangan rembesan hormon testosterone yang penting untuk pembinaan otot.

 

Rujukan:

  1. Eriksson A. (19 February 2017), Tip: Is Dark Chocolate a Bodybuilding Food?, T-Nation, [accessed online] https://www.t-nation.com/diet-fat-loss/tip-is-dark-chocolate-a-bodybuilding-food [accessed on 19 February 2017].
  2. Effects of epicatechin on molecular modulators of skeletal muscle growth and differentiation. The Journal of Nutritional Biochemistry, 2014. PubMed, PMC.
  3. Effects of catechin, epicatechin and epigallocatechin gallate on testosterone production in rat leydig cells. Journal of Cellular Biochemistry, 2010. PubMed- NCBI.
  4. Effect of dark chocolate on nitric oxide serum levels and blood pressure in prehypertension subjects. Acta medica Indonesiana, 2011. PubMed, NCBI.
Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

1 thought on “Coklat Gelap Dan Bina Badan

  1. imanrazaq says:

    Mana lagi elok, makan sebelum atau selepas workout. Ad juga abang2 gym yg bgtau mkn sblum workout lgi baik.

Leave a Reply to imanrazaq Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: