Gula Tiruan : Pembawa Kanser?

 

“Bro hati-hati. Air pepsi ini ada gula tiruan. Dr Nor*** cakap nanti boleh bawa penyakit kanser”

Saya jamin, kita semua pernah didedahkan dengan nama ‘gula tiruan’ pada air berkarbonat seperti pepsi diet. Saya masih ingat lagi rasanya meminum air Diet Pepsi yang menggunakan Aspartame. Sedikit kelat pada hujung-hujung tegukan. Kini, yang paling tersohor mestilah air Pepsi Black yang menayangkan gambar kumpulan K-Pop Blackpink sebagai tarikan

Sekitar tahun 2008, saya masih ingat bahawa sesetengah media di majalah atau akhbar akan menceritakan serba-sedikit berkenaan gula tiruan. Tetapi, pada hujung ceritanya akan sentiasa diselit dan diulang-ulang seperti zikir “Aspartame menyebabkan kanser”. Maka saya berhenti meminum Pepsi Diet selama bertahun-tahun.

Sehinggalah saya ditemukan kembali dengan air Pepsi Black di Universiti. Saya masih ingat tegukan pertama yang menyegarkan kerongkong saya. Lama-kelamaan, saya menyukai air ini. Rasanya lebih sedap dibandingkan dengan Diet Pepsi dahulu. Mungkin formulanya ditambahbaik. Tapi ia tidak menghalang saya untuk sedikit curiga.

Namun sebagai seorang yang ‘sedikit’ terdidik, saya sedar bahawa tindakan mempercayai buta-buta kepada saranan sahaja adalah suatu yang salah. Maka, saya mula membuat sedikit pembacaan daripada beberapa pendapat yang dikemukakan oleh beberapa sarjana. Amat mengejutkan, bahawa sehingga kini tiada lagi SATU pun kajian yang mampu memberi bukti kukuh 100% bahawa gula tiruan boleh menyebabkan kanser untuk suatu jangka masa tertentu.

Sedikit Fakta Berkenaan Gula Tiruan

  1. Terdapat beberapa jenis gula tiruan/alternatif yang di pasarkan, antaranya adalah Aspartame, Sucralose, Saccharin, Stevia dan Monk Fruit (Banyak juga sebenarnya kalau nak senaraikan)
  2.  Sebenarnya, dua perkara iaitu gula tiruan dan gula alternatif adalah tidak sama. Gula tiruan  seperti aspartame adalah gula yang dihasilkan secara sintetik. Manakala Gula alternatif (Stevia dan Monk Fruit) diambil daripada sumber alam. Persamaan antara dua jenis gula ini adalah ia kalori rendah ( sekitar 4kalori kebawah sahaja)

Sejarah Kontroversi Gula Tiruan

Untuk memahami sejarah mengapakah gula tiruan menerima kontroversi, saya ingin membawa anda ke zaman 1970-an. Sekitar tahun tersebut, beberapa pengkaji mendapati bahawa tikus makmal yang diberi Saccharin (Sejenis gula tiruan) memperoleh kanser pundi kencing di akhir kajian itu. Hal ini lah yang menyebabkan United States of Food and Drug Administration (FDA) ‘cuba’ untuk mengharamkan penggunaan gula tiruan . Dan ia berjaya diharamkan pada 1977.

Walaubagaimana pun, perkara ini telah dipertikaikan kembali oleh beberapa pengkaji, apabila beberapa pengkaji mempertikaikan bahawa mekanisme tubuh badan tikus adalah tidak sama dengan manusia. Hal ini disebabkan oleh biologi tikus dimana air kencing tikus mempunyai  kandungan kalsium fosfat serta kandungan protein yang teramat tinggi. Kajian daripada Cohen Et al (1998) membuktikan bahawa dos Vitamin C yang sama dengan dos Saccharin juga menyebabkan tikus turut mendapat kanser pundi kencing walaupun tanpa kehadiran SACCHARIN!

Tahun 2000, FDA akur dengan keputusan untuk membuang nama Saccharin daripada senarai makanan yang berpotensi menyebabkan karsinogen (sejenis bahan/radiasi yang membantu pertumbuhan kanser). Hal ini membuktikan bahawa gula tiruan seperti Saccharin tidak menyebabkan kanser!

Penggunaan Gula Tiruan pada Zaman Ini

Pada masa kini, sebenarnya agak ‘merepek’ apabila wujud sesetengah golongan bijak pandai cuba untuk ‘mengharamkan’ penggunaan gula tiruan atas sebab ‘menyebabkan kanser’. Sebenarnya mereka (termasuk anda yang masih percaya gula tiruan menyebabkan kanser) sudah ketinggalan bertahun-tahun lamanya.  Kini, terdapat satu Review Paper yang dijalankan pada tahun 2013 menyatakan bahawa masih belum ada lagi kajian yang KONSISTEN berkaitan penggunaan aspartame dan kesan risiko kanser. Bahasa mudahnya, tiada lagi kajian yang mampu meyakinkan kita semua bahawa Gula tiruan Aspartame sememangnya menyebabkan kanser!

Konklusi

Adakah gula tiruan/gula alternatif boleh diambil? Semestinya boleh. Satu kajian dijalankan membuktikan bahawa mereka yang meminum minuman yang mengandungi gula tiruan semasa berdiet mampu memberi kesan penurunan berat badan yang efektif daripada mereka yang hanya meminum air kosong semasa tempoh diet. Antara sebab yang diramal adalah Gula tiruan mampu mengurangkan rasa ‘craving’, sekaligus menjadikan seseorang itu mampu untuk bertahan semasa dalam fasa berdiet.Namun berpada-padalah dengan pengambilannya. Tak perlulah nak habiskan gula tiruan sekotak/sebotol sehari.

Kursus Kecergasan 2024

Kajian
1) http://www.cancer.gov/ – Artificial Sweeteners
2. http://www.researchgate.net – Maria Luiza De Oliveira / Tumorigenicity of sodium ascorbate in male
3) https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23891579/
4) https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/26708700/

Ilham Izaruddin

Ilham Izaruddin

M. Ilham Izaruddin

“Health Can Never Be Divorced With Strength” – George Hackenschmidt

Hi, saya Ilham. Seorang pelajar di sebuah IPTA (Dan masih lagi bergelut untuk menghabiskan saki-baki semester dalam bidang Ukur Bahan),
Seorang Certified Fitness Instructor dibawah NASC ,serta penulis amatur yang kadangkala akan berceloteh seputar isu fitness dan nutrition di Facebook dan Instagram saya (ItsCendolTime)

Sebagai seorang anak muda yang dahulunya tidak ‘pernah’ fit ( Kini mungkin lebih fit sikit. Sikit sahaja lah), saya sentiasa menganggap bahawa definisi ‘Fit’ hanyalah untuk golongan yang tertentu, terutamnya atlet-atlet. Namun, kecintaan yang mendalam terhadap fitness bermula daripada keputusan untuk mengangkat berat di gym akibat masalah ‘insecurity’.
Dan saya tidak menyesal dengan keputusan tersebut..

Kerana itulah saya sentiasa berpendapat bahawa ‘Fitness’ adalah HAK milik semua. bukan semata-mata untuk atlet sahaja.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: