Inilah Senaman Kegemaran The Rock untuk Jadi Besar
Dwayne Douglas Johnson atau lebih dikenali dengan nama pentasnya The Rock adalah seorang bekas ahli gusti profesional WWF (sekarang WWE) dan pelakon paling tinggi bayarannya. Di Amerika Utara sahaja, jumlah kasar bayaran untuk beliau berlakon adalah 3.5 bilion USD.
Ketegapan badan The Rock adalah impian ramai lelaki. Badan beliau sering dirujuk sebagai yang paling besar dan keras. Seram apabila melihatnya. Tambahan pula terdapat tatu daripada budaya Maori di dada dan lengannya. Ia kelihatan sangat macho!
Menurut majalah People, The Rock dinobatkan sebagai manusia terseksi di dunia pada tahun 2016. Ini adalah kerana tubuh badannya yang kelihatan hampir sempurna!
The Rock juga dikatakan seorang selebriti yang paling sibuk dan berdisiplin dengan rutin latihan bebannya. Beliau bangun di awal pagi (sangat pagi) untuk melatih beban. Di samping kesibukan beliau berlakon dan sebagainya, beliau tidak pernah meninggalkan latihan beban.
Walaupun beliau terpaksa ke luar negeri untuk melakukan penggambaran filem, beliau akan meminta staf-stafnya untuk membawa seluruh peralatan gim ke tempat pengggambaran tersebut. Ini menunjukkan The Rock tidak pernah culas. Kerja hariannya tidak dijadikan halangan untuk beliau melatih beban.
Rutin Harian The Rock
Menurut Gaspari Nutrition, The Rock akan melatih beban enam hari dalam seminggu. Maknanya, terdapat satu hari sahaja beliau tidak ke gim. Selain itu, beliau akan bangun pada jam empat pagi pada setiap hari. Beliau akan berjoging selama kira-kira 50 minit. Selepas beliau habis berjoging, beliau akan mengambil sarapan. Habis sahaja sarapan, barulah beliau akan melatih beban di gim.
Ini merupakan gambaran umum rutin harian beliau. Dalam biografi tentang beliau, diceritakan beliau mempunyai etika bekerja yang sangat tinggi. Ini lahir daripada sikap beliau yang sangat berdisiplin.
Jadi, ini adalah satu perkara yang kita dapat belajar daripada The Rock. Etika bekerja adalah sangat penting untuk berjaya. Berjaya di sini adalah berjaya dalam semua aspek. Tanpa sikap yang betul, bagaimana kita hendak mencapai bentuk badan yang ideal?
Ia memerlukan usaha yang banyak. Usaha itu datang daripada motivasi dan semangat kita juga. Niat sahaja tidak cukup tanpa kesungguhan dan disiplin. Belajarlah daripada The Rock.
Gaya Latihan The Rock
Menurut Set For Set, The Rock biasanya mengamalkan dua jenis rutin latihan beban, iaitu:
- Pyramid set
- Giant set
Menurut Set For Set juga, mereka amati dua jenis rutin ini daripada program latihan beban The Rock. Dua ini adalah yang paling kerap diamalkan olehnya.
Apa itu pyramid set?
Pyramid set adalah sebilangan set yang bermula dengan beban rendah rep tinggi lalu menaik sehingga menjadi beban tinggi rep rendah. Contohnya:
Set 1: 70kg x 12 rep
Set 2: 75kg x 10 rep
Set 3: 80kg x 8 rep
Set 4: 85kg x 6 rep
Pyramid set adalah sejenis rutin latihan beban yang menyeluruh, iaitu meningkatkan hipertrofi, kekuatan dan ketahanan otot sekali gus.
Terdapat satu kajian yang dilakukan oleh Cattan (terbitan Encyclopedia MDPI) yang membandingkan set tradisional dengan piramid set. Hakikatnya, set piramid itu diperlihatkan ada kesan yang sangat signifikan pada perkembangan otot.
Apa itu giant set?
Giant set adalah lebih kurang circuit training. Asasnya, giant set adalah melakukan 3-4 senaman beban tanpa ada rehat di antaranya.
Jadi, apakah latihan beban kegemaran The Rock?
Senaman Beban yang Selalu Dilakukan oleh The Rock
Ada beberapa senaman yang kerap dilakukan oleh The Rock. Ini barangkali kerana senaman-senaman itu memberi kesan yang sangat besar pada perkembangan otot.
Berikut adalah senaman-senaman yang sering dilakukan oleh The Rock:
Barbell Walking Lunge
Leg Press
Belt Squats
Barbell Row
One Arm Dumbbell Row
Dumbbell Shrug
Ini adalah senarai senaman yang kerap dilakukan oleh The Rock mengikut pemerhatian Set For Set.
Akhir
The Rock sangat berdisiplin dan konsisten dengan program latihan bebannya. Beliau juga melakukan senaman yang sangat efektif bagi perkembangan ototnya. Ini juga menjadi contoh kepada kita untuk mencari senaman mana yang sesuai dengan badan kita. Dan yang paling penting, memberi kesan maksimum.