Kebaikan menggunakan Hand Gripper

Hand Gripper memberikan banyak kebaikan kepada tubuh badan
Saya pasti, tidak kurang daripada kita yang mempunyai Hand Gripper di rumah atau di pejabat. Kita menggunakannya salah satu sebab adalah untuk melepaskan geram. Kita boleh menggenggamnya sekuat hati. Tahukah kita bahawa Hand Gripper ini bukan sekadar alat melepaskan geram atau senaman “ringan”, namun ia mempunyai kebaikan yang luar biasa dari sudut kesihatan. Selepas membaca artikel ini sehingga habis, pasti kita tidak lagi akan memandang rendah terhadap manfaat Hand Gripper!
- Kesihatan mental yang baik
Terdapat beberapa kajian yang dilakukan untuk menjelaskan hubungan antara kekuatan cengkaman (grip strength) dan kesihatan mental antaranya kajian yang dilakukan oleh Jae-Hyun Kim (2019), Norio Fukumori et al. (2015) dan banyak lagi. Kajian menunjukkan mereka yang mempunyai kekuatan cengkaman yang rendah sangat sinonim dengan simtom-simtom kemurungan (depression). Banyak kajian telah menarik kesimpulan bahawa untuk mempunyai tahap kesihatan mental yang baik, perlulah meningkatkan kekuatan cengkaman dengan senaman. Caranya adalah dengan menggunakan Hand Gripper!
- Menguatkan otot lengan bawah (forearms)
Otot lengan bawah memainkan peranan menggerakkan jari-jemari kita. Untuk membuktikan hal tersebut, cuba kita menggenggamkan tangan kita lalu lepaskan. Lakukan seperti itu beberapa kali. Kita akan dapat lihat bahawa bahagian lengan bawah kita akan menegang setiap kali kita menggenggamkan tangan kita. Hal ini kerana otot bawah lengan merupakan otot yang mengawal jari. Apabila kita menggunakan Hand Gripper, kita sebenarnya sedang menguatkan otot lengan bawah dengan signifikan.
Apatah lagi, otot ini kita gunakan setiap hari dan setiap masa. Ketika saya sedang menulis artikel ini di hadapan laptop pun, otot tersebut sedang diaktifkan. Kita mengangkat barang yang baru dibeli juga menggunakan otot lengan bawah. Kita mengemop lantai. Kita mencuci baju. Kita memotong bawang. Kita mencuci kereta. Hampir semua aktiviti harian kita menggunakan otot bawah lengan. Maka, jangan memandang rendah akan kepentingan otot berkenaan. Ia secara langsung membantu kita memudahkan pekerjaan harian.
- Menunjukkan kesihatan keseluruhan badan
Kekuatan cengkaman mempunyai hubungan dengan kesihatan badan seseorang. Makin kuat daya cengkaman seseorang, makin sihatlah orang itu. Ini kajian yang dilakukan oleh Diana Taekema et al. (2010). Kajian tersebut diterbitkan oleh Oxford University Press. Kajian menyasarkan kepada orang tua. Sepertimana yang kita tahu, orang tua sudah mula menghadapi fasa kehilangan daya otot. Dengan sebab itu, mereka lebih mudah terkena macam-macam penyakit. Untuk mengelak hal itu berlaku, mereka perlulah melakukan senaman ringan untuk “menghidupkan” otot-otot. Dalam konteks ini, sangat disarankan untuk melatih otot lengan bawah dengan mencengkam. Hal itu boleh dicapai dengan menggunakan Hand Gripper sebagai senaman.
Bagaimana hendak menggunakan Hand Gripper?
- Cari Hand Gripper dengan beban berat yang kita mampu genggam sehingga rapat. Saya secara peribadi mengesyorkan anda untuk menggunakan Hand Gripper yang boleh laras (adjustable) supaya kita boleh menaikkan dan menurunkan beban sesuai dengan kemampuan kita.
- Pegang dengan sesedap rasa, lalu genggam sehingga Hand Gripper tersebut rapat. Rapat di sini bermaksud kedua batangnya bertemu di tengah-tengah.
- Lakukan senaman ini sebanyak 8 hingga 10 ulangan (reps) dengan 3 hingga 4 pusingan (sets).
- Anda boleh melakukan senaman tersebut 3 hingga 4 kali seminggu.
- Sekiranya otot pergelangan tangan (wrist) atau lengan bawah (forearms) anda sakit, pastikan anda berehat dahulu buat sekian waktu sehingga otot-otot itu segar untuk bersenam kembali. Waktu rehat adalah sangat penting untuk otot berkenaan mengadaptasi dengan beban yang berat. Itulah yang membuatnya makin kuat.
- Anda harus bijak memanipulasikan beban atau ulangan. Sekiranya beban terlalu ringan, ada perlu menaikkannya supaya ia mencabar. “Mencabar” itu yang akan memberi manfaat maksimum kepada otot anda. Sekiranya anda melakukan senaman dengan tahap moderat, maka otot anda susah untuk berkembang dan menguat. Ia kekal pada tahap biasa-biasa sahaja.
Maka, rajin-rajinlah menggunakan Hand Gripper!
Rujukan
Bahadur, N. (2019, June 18). Benefits of Hand Grip Exercises. LIVESTRONG.COM. https://www.livestrong.com/article/219978-benefits-of-hand-grip-exercises/
Hand-Grip Strength May Provide Clues to Heart Health. (2015, May 14). MedicineNet. https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=188468
Johnson, D. (2017, November 17). Grip strength is important to safety – and your health. 2017–11-01 | ISHN. https://www.ishn.com/articles/107525-grip-strength-is-important-to-safety-and-your-health
Mari, G. (2021, January 7). 10 Extraordinary Benefits of Hand Grip Strengthener. Flab Fix. https://flabfix.com/10-extraordinary-benefits-of-hand-grip-strengthener/
Taylor, A. (2020, October 15). How strong your grip is says a lot about your health. The Conversation. https://theconversation.com/how-strong-your-grip-is-says-a-lot-about-your-health-145861
What your grip strength says about your overall health. (2020). Edward-Elmhurts Health. https://www.eehealth.org/blog/2020/02/what-your-grip-strength-says-about-your-overall-health/