Ketaksamarataan Gender dalam Kecergasan

Terdapat sebahagian orang menganggap yang lelaki dan wanita itu tidak ada perbezaan. Wanita boleh bersaing dengan lelaki dan begitulah sebaliknya. Hal sebegini pernah ditimbulkan dahulu ketika seorang atlet transgender dari New Zealand akan bertanding dalam acara angkat berat kategori wanita.

Ada yang mengatakan ini tidak adil kerana transgender tersebut merupakan seorang lelaki, maka dari biologinya wanita dianggap mustahil untuk bersaing dengannya. Namun, ada sebahagian yang lain juga mengatakan bahawa ini tidak ada masalah kerana kita sudah ke arah keadaan yang “progresif”. Kononnya, progresif itu digambarkan sebagai tidak adanya jurang antara gender.

Persoalannya, sejauh mana dakwaan yang mengatakan lelaki dan wanita itu tidak ada beza dalam konteks kecergasan?

Oleh itu, artikel ini akan membentangkan kajian-kajian untuk membuktikan bahawa lelaki dan wanita itu mempunyai perbezaan yang ketara dari segi biologi dan fakta ini memberitahu kita bahawa mereka tidak boleh bersaing dalam kategori yang sama.

Artikel berikut membincangkan tentang budaya angkat berat dalam kalangan wanita: Wanita Besi Masih Budaya Alien dalam Masyarakat Kita

Kursus Kecergasan 2024

American College of Sports Medicine (ACSM) telah mengeluarkan kenyataannya tentang perbezaan biologi antara lelaki dan wanita yang membuatkan keperluan kecergasan mereka berbeza. Kenyataan ini dibuat berdasarkan ulasan daripada kajian-kajian yang lepas.

Jadi, menurut ACSM, apabila lelaki dan wanita itu berlatih dengan rutin yang sama, mereka tetap mendapat hasil yang berbeza oleh kerana biologi mereka yang berbeza:

  1. Secara biologinya, lelaki dan wanita itu berbeza dan ini memberi kesan kepada prestasi sukan. Lelaki dianggap lebih kuat, pantas dan tangkas kerana secara fisiologinya ditentukan oleh kromosom.
  2. Testosteron lelaki lebih tinggi berbanding wanita. Apabila wanita berumur 18 tahun, testosteron lelaki sudah melangkaui 15 kali lebih banyak.
  3. Jisim otot lelaki lebih besar berbanding wanita, peratusan lemaknya lebih rendah, paru-paru lebih besar dan banyak lagi.
  4. Ketahanan otot lelaki lebih lama berbanding wanita.
  5. Walaupun wanita berlatih lebih bagus daripada lelaki, mereka tetap tidak boleh menafikan perbezaan yang ketara antara mereka dengan lelaki dari segi jisim otot dan sebagainya. Ini yang membuatkan lelaki dan wanita itu berbeza secara signifikannya.

Berdasarkan kajian oleh Lewis, Kamon dan Hodgson dalam Physiological Differences between Genders: Implications for Sports Conditioning, mereka mendapati bahawa perbezaan biologi antara lelaki dan wanita dilihat ketara dari segi peningkatan hipertrofi dan kekuatan otot. Apabila mereka berlatih untuk meningkat dua perkara ini, didapati hipertrofi dan kekuatan otot lelaki meningkat dengan lebih signifikan berbanding wanita. Walhal, latihannya sama. Namun demikian, lelaki dan wanita didapati tidak jauh beza apabila berhadapan dengan senaman yang bersifat aerobik seperti berlari dan sebagainya. Cuma, dalam maraton, lelaki lebih cenderung untuk berlari dengan lebih bagus berbanding wanita kerana wanita mempunyai lemak khas yang membuat mereka menghadapi cabaran sedikit berbanding lelaki.

Seterusnya, kajian Shephard dalam Exercise and Training in Women, Part I: Influence of Gender on Exercise and Training Responses mendapati hormon wanitalah yang membuatkan respons badan mereka terhadap senaman itu berbeza dengan lelaki. Jadi, dari segi pembesaran otot, lebih mereka dilihat perlahan berbanding lelaki. Cuma, terdapat penemuan yang menarik, iaitu kitaran haid tidaklah menjejaskan prestasi kecergasan seseorang wanita. Ini bermakna, sekiranya wanita itu bersenam semasa haid, kesannya tetaplah sama dengan ketika mereka bersenam dalam keadaan tidak haid.

Dalam satu kertas kerja yang berjudul A Comparison between Male and Female Athletes in Relative Strength and Power Performances juga membukti apa yang didakwa sebelum ini adalah benar, iaitu lelaki mempunyai kelebihan dari segi kecergasan berbanding wanita. Ini menguatkan apa yang dikatakan oleh Brown dalam artikelnya:

Yes, some women are taller than some men. Some women are stronger and can run faster than some men. But the tallest women are shorter than the tallest men, the most muscular men have significantly more muscle mass than the most muscular women, the strongest men are much stronger than the strongest women, and the fastest men are much faster than the fastest women. When comparing similarly aged, gifted, and trained males and females, the males’ inherent biological advantages tip the playing field unalterably in their favor.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, terdapat lagi banyak kajian yang membuktikan jurang antara jantina dari aspek kecergasan. Ini tidaklah menunjukkan bahawa wanita itu lemah dan sebagainya, tetapi yang ingin dibuktikan di sini ialah wanita seharusnya bersaing dalam kategorinya dan begitu juga dengan lelaki.

Memang wujud wanita yang lebih kuat berbanding lelaki, namun di sini, perbincangannya adalah dalam skop biologi. Hakikatnya, biologi dua jantina ini tidak sama dan memerlukan kategori sendiri dalam mana-mana pertandingan sukan.

Artikel berikut membincangkan tentang perbezaan rangka otot wanita dan lelaki: Kesan Estrogen pada Rangka Otot Wanita

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: