Kurus dengan Bersenam Sahaja Tanpa Menjaga Diet

Cuba kita fikir seketika. Adakah masuk akal sekiranya kita melakukan senaman semata-mata tanpa menjaga diet untuk menguruskan badan?
Kita hendak berbadan tegap, tetapi kita tidak mahu menjaga diet. Kita hanya mahu pergi ke gim dan melakukan latihan beban sahaja. Boleh capaikah?
Mungkin juga kita seorang yang suka makan. Susah untuk kita tinggalkan atau mengurangkan makan.
Kita pernah tengok, ada orang yang dia makan banyak macam mana sekalipun, badan dia tetap tidak berubah. Kita cemburu melihatnya.
Apabila kita makan banyak sikit, sudah nampak perubahan yang ketara pada tubuh. Jadi, macam mana?
Asasnya, untuk menurunkan berat badan, kita perlukan defisit kalori. Maknanya, kita perlu mengurangkan pengambilan makanan dan minuman, atau dalam erti kata, mengawal pemakanan dengan mengambil bahan-bahan yang rendah kalori.
Selepas mengurangkan kemasukan kalori, kita tambah pula dengan senaman. Pengambilan kalori kita mestilah kurang berbanding kiraan pengambilan kalori harian kita yang biasa.
Inilah kunci untuk turunkan berat badan.
Jadi, masuk akalkah untuk bersenam sahaja tetapi tidak menjaga diet?
Kalau ikutkan teknikal, masuk akal. Cuma, ada hal-hal perincian yang perlu diteliti.
Contohnya, apakah jenis senaman yang kita lakukan?
Kalau setakat joging ringan selama 20 minit lalu kita makan makanan yang tinggi kalorinya. Maka, bagaimana kita hendak mencapai defisit kalori?
Lainlah sekiranya kita melakukan senaman yang berat sehinggakan pembakaran kalori kita itu mengatasi bilangan kalori pemakanan kita.
Menurut Katie Lawton, seorang ahli fisiologi, strategi menurunkan berat badan dengan hanya bersenam tanpa menjaga diet adalah satu strategi yang tidak elok. Ia tidak digalakkan pun.
Penulis hanya berkata, secara teknikalnya, ia masuk akal. Namun, apakah kita sanggup melakukannya? Sanggupkah untuk bersenam dengan “teruk” hampir setiap hari?
Seterusnya, bolehkah jadi tegap dengan hanya melakukan latihan beban tanpa menjaga diet? Jawabnya, boleh. Tetapi, kita tidak boleh dapatkan badan yang “cutting“. Untuk dapatkan badan yang “cutting“, kita nak tak nak, perlu menjaga diet.
Eh, kenapa ada orang dia makan banyak mana sekalipun, dia tak gemuk-gemuk? Ini adalah kerana kadar metabolisme dia tinggi. Ketika dia tidak berbuat apa-apa pun, kalorinya membakar.
Bagaimana kita hendak jadi macam itu? Kita perlu lakukan latihan beban atau angkat berat. Latihan beban dapat meningkatkan kadar metabolisme kita dengan signifikan berbanding kardio dan sebagainya.
Kesimpulannya, secara idealnya, kita perlu bersenam dan menjaga diet.
Rujukan