Adakah Main Berat Bermaksud Otot Membesar?

Di gimnasium, anda akan nampak pelbagai jenis individu dengan pelbagai jenis latihan. Ada yang mengangkat berang, ada yang angkat ringan, ada yang angkat secara laju, ada pula yang perlahan. Kebanyakan latihan yang dilakukan akan membantu untuk membina otot, tetapi adakah semakin berat anda main, semakin membesar otot anda akan jadi nanti?
Kalau betullah yang semakin berat anda gunakan untuk latihan anda, semakin membesar otot, maka atlit angkat berat olimpik semuanya akan jadi besar-besar seperti jaguh bina badan. Tetapi, jika anda lihat, kebanyakan atlit angkat berat berangka kecil (tetapi kuat macam super hero). Macam mana mereka boleh angkat berat sedangkan badan macam orang buat latihan biasa-biasa sahaja.
Kekuatan Tidak Semestinya Berotot Besar
Tak semua orang yang berlatih angkat berat inginkan badan yang besar. Ini kerana, mereka juga berlawan dalam kategori berat badan. Seperti powerlifting, mereka mahu lawan dalam kategori berat badan yang paling rendah yang boleh mereka capai (ada juga nak lawan dalam kategori besar sebab kalau dah semua nak lawan yang kecil, maka yang besar pula kuranglah kompetisi). Itu tak menjadi masalah, yang menjadi isu sekarang adalah, adakah berlatih dengan lebih berat boleh menjamin kenaikan otot?
Tidak semestinya kerana kunci kepada pembinaan otot bukanlah pada latihan kekuatan. Anda boleh jadi semakin kuat tanpa kenaikan otot kerana apabila anda menjadi kuat, anda melatih otot anda supaya bekerja dengan lebih berkesan. Otot kita mempunyai unit motor yang akan bekerjasama untuk mengangkat bebanan yang kita gunakan. Semakin banyak unit motor otot yang bekerjasama, maka sesuatu bebanan akan dapat diangkat dengan lebih mudah. Bayangkan begini, dalam perlawanan tarik tali, jika masing-masing menarik secara serentak, maka mereka boleh menarik dengan lebih mudah berbanding menarik secara tergopoh-gapah (tidak seirama dengan ahli kumpulan yang lain).
Menjadi kuat tidak menjamin kenaikan otot, tetapi dengan menjadi kuat, anda boleh menggalakkan lagi lebih banyak otot untuk membesar. Yang penting dalam pembinaan otot adalah metabolic damage di mana anda berlatih dengan melakukan ulangan yang banyak. Untuk latihan kekuatan, anda tidak melakukan sebanyak ulangan seperti latihan hipertropi. Tetapi, jika anda boleh gunakan bebanan yang semakin berat dari semasa ke semasa untuk banyak ulangan, anda boleh bina lebih besar otot. Fahamkan begini, seseorang mengangkat 60kg untuk 10 ulangan dengan seorang lagi yang mengangkat 100kg untuk 10 ulangan. Mana ada rasa lebih besar?
Latihan Bina Otot Kena Guna Ringan?
Siapa kata kalau anda nak bina otot kena gunakan yang ringan? Tidak, anda kena gunakan yang susah bagi anda dalam julat 10-20 ulangan. Jika anda nak gunakan berat lagi, maka susahlah anda nak buat 10-20 ulangan, tetapi bebanan tersebut bergantung pada diri anda. Sebagai contoh, kalau anda dah cukup kuat untuk buat 100kg squat untuk 15 rep, kenapa anda nak buat 60kg sahaja untuk jumlah ulangan yang sama? Kurang logik di situ, melainkan anda menggunakan teknik untuk menyusahkan set tersebut seperti memberi fokus kepada eccentric yang lebih lama. Itu memang menyebabkan anda tak mampu untuk mengangkat bebanan yang sebegitu berat.
Walaupun begitu, bukanlah semua set patut menggunakan teknik sebegini. Kalau anda nak gunakan teknik tersebut, digalakkan untuk anda guna pada set terkahir senaman yang anda buat. Jika anda buat 3 set pemanasan badan, maka buat 1-2 set tersusah menggunakan bebanan terbaik yang anda boleh angkat sebanyak 10-20 rep. Pada set terakhir, anda boleh habiskan dengan teknik untuk menyusahkan dan memanjangkan lagi set tersebut bagi menghabiskan sepenuhnya tenaga otot anda. Ini akan menyebabkan lebih banyak metabolic damage dan menggalakkan kenaikan otot dengan lebih berkesan.