Motivasi dalam Sukan
Jangan kita sangka bahawa sukan hanyalah bermain dan bermain. Yang terlibat dalam sukan bukannya robot, tetapi manusia. Manusia mempunyai hati dan perasaan. Kadang, kita bersaing, kita tidak sedar bahawa mental merupakan antara komponen terpenting untuk beraksi.
Selama ini, kita fikir, siapa yang kuat fizikal, dia menang. Siapa yang paling banyak berlatih, dia menang. Siapa yang sudah lama dalam sukan berkenaan, dia menang. Tidak dinafikan semua ini betul.
Namun, kita harus mula sedar dan ambil berat tentang psikologi kita. Setiap atlet mesti mempunyai motivasi, semangat, fikiran dan jiwa yang besar untuk terus berlatih dan menang. Bukan mudah untuk kita konsisten berlatih. Kadang, kita akan berasa penat dan hendak berhenti. Kadang, kita rasa sudah hilang minat. Padahal, kita ada potensi! Jadi, mengapa ada yang berhenti padahal kita lihat dari jauh dia ada kelebihan dalam sukan tersebut?
Jawabnya, motivasi.
Motivasi ialah dorongan atau tujuan seseorang untuk bertindak. Motivasi ada 2:
- Motivasi ekstrinsik
- Motivasi intrinsik
Motivasi ekstrinsik ialah motivasi yang berasal dari luar diri kita. Contohnya, pangkat, ganjaran wang, hadiah dan sebagainya. Semua ini merupakan benda yang hendak dicapai oleh seseorang. Maka, bila seseorang mempunyai motivasi kerana benda-benda berkenaan, ia dipanggil motivasi ekstrinsik.
Motivasi instrinsik pula ialah motivasi yang datang dari dalam diri kita. Contohnya, minat dan bakat. Seseorang yang menjadikan minat sebagai motivasi untuk dia berbuat sesuatu, itulah motivasi intrinsik.
Motivasi memberi kesan kepada prestasi sukan kita. Kita kena terus bermotivasi untuk menghadapi kebosanan dalam latihan, kekalahan, seksanya menjaga diet dan seterusnya. Apabila kita kalah dalam suatu perlawanan atau kejohanan, kita pasti akan berasa sangat sedih. Ini disebabkan kita telah berusaha keras. Tiba-tiba kalah macam itu sahaja. Apatah lagi kalau kalah dengan teruk. Pasti kita akan berasa sedih. Lebih teruk lagi, kita akan ada rasa untuk putus asa dan berhenti. Di sinilah motivasi sangat membantu kita. Motivasi membantu kita untuk terus positif dan terus belajar menguatkan segala kelemahan kita.
Penulis yakin dan percaya, kita memerlukan dua-dua jenis motivasi. Kita perlu ada minat dan keinginan untuk menang. Ini yang menghalang kita daripada putus asa dan rasa ingin berhenti bermain sukan tersebut.
Kita patut berfikir rasional ketika sedang bersedih. Kita kalah bukannya sebab kita tidak akan menang, tetapi ada beberapa hal yang perlu kita baiki terlebih dahulu, barulah kita boleh menang. Terus perbetulkan dan perkuatkan diri kita!
Rujukan
1. Sports: What Motivates Athletes? https://www.psychologytoday.com/us/blog/the-power-prime/200910/sports-what-motivates-athletes
2. Motivation in Sports Psychology https://www.sportsperformancebulletin.com/endurance-psychology/coping-with-emotions/motivation-sports-psychology/
3. What’s The Best Motivation For Athletes? https://www.peaksports.com/sports-psychology-blog/whats-the-best-motivation-for-athletes/