Pandangan “Kardio Dapat Membakar Otot” Adalah Mitos!

Pernahkah anda mendengar atau menonton mana-mana video kecergasan yang mengatakan “kardio boleh membakar otot”. Sebenarnya, ini adalah mitos. Kardio tidak boleh membakar otot. Cuma, sekiranya anda tidak pandai dalam menguruskan dan mengimbangkan antara senaman kardio (membakar lemak) dan latihan beban (menumbuh otot), itu akan membakar otot.
Sekali lagi saya ulang, masalahnya bukan pada kardio, tetapi bagaimana anda melakukan kardio itu sehingga melambatkan proses pertumbuhan otot. Sebab, pertumbuhan otot memerlukan masa rehat. Dalam latihan pula, anda memerlukan intensiti yang tinggi untuk menggalakkan otot anda berkembang.
Jadi, sekiranya anda melakukan kardio dengan banyak tanpa keseimbangan dengan latihan beban, sesi kardio tersebut akan melesukan anda sehingga anda tidak mampu melakukan latihan beban dengan kemampuan otot yang maksimum.
Sekarang, anda sudah nampak masalahnya di mana? Mari kita bincangkan dengan lebih lanjut.
Terdapat satu artikel yang membahaskan hal ini dengan mendalam. Artikel tersebut ditulis oleh Jeremy Ethier. Tajuknya ialah Does Cardio Burn Muscle? (3 Cardio Mistakes Killing Your Gains). Ethier mengatakan, terdapat tiga kesalahan yang kita buat sehingga menyebab otot kita “terbakar” selepas melakukan kardio:
- Melakukan kardio pada waktu yang salah.
- Melakukan jenis kardio yang salah.
- Melakukan terlalu banyak kardio.
Mari kita faham satu per satu.
Melakukan kardio pada waktu yang salah
Pertama sekali, benarkah ada kajian yang membuktikan kardio boleh membakar otot? Jawabnya, ada. Kajian tersebut telah membandingkan dua sampel, iaitu mereka yang melakukan kardio dan senaman menguat otot sekali gus, dan mereka yang melakukan satu-satu, sama ada kardio sahaja atau latihan beban sahaja.
Mereka dapati, terdapat perbezaan yang signifikan antara dua sampel ini. Mereka yang menggabungkan kardio dan latihan beban, kesannya kurang apabila dibandingkan dengan mereka yang hanya melakukan satu-satu. Ini menunjukkan kardio boleh melambatkan proses perkembangan dan kekuatan otot.
Menurut Ehtier, ini bukanlah mentaliti yang betul. Menurut beliau, sekiranya kita pandai menguruskan antara kardio dan latihan beban, kita dapat memaksimumkan kesannya.
Pertama, kata beliau, janganlah melakukan kardio pada waktu yang salah. Bilakah waktu yang salah itu? Apabila anda hendak melakukan kardio yang berintensiti sederhana atau tinggi, anda pergi melakukannya sebelum sesi latihan beban anda. Menurut kajian, ini akan memenatkan anda sehingga sesi latihan beban anda nanti tidak dapat dimaksimumkan. Kesannya? Perkembangan otot anda menjadi perlahan.
Jadi, bilakah waktu yang sesuai untuk melakukan kardio? Jawabnya, kalau anda mahu juga melakukan kardio sebelum sesi latihan beban anda, maka lakukanlah kardio yang berintensiti rendah sahaja seperti joging perlahan dan berjalan kaki.
Namun, jikalau anda mahu melakukan kardio yang berintensiti sederhana dan tinggi, lebih baik anda asingkan dengan sesi latihan beban. Kardio buat pada hari lain, latihan beban pun buat pada hari lain. Jangan sekalikan dalam satu sesi.
Melakukan jenis kardio yang salah
Kardio yang salah menurut Ethier ialah kardio yang berimpak tinggi seperti berlari, tali skip dan seangkatannya. Sebab apa jenis kardio ini tidak digalakkan? Sebab, kardio tersebut akan melesukan hampir keseluruhan otot bawah badan anda. Dengan itu, anda memerlukan banyak masa rehat untuk pulihkannya. Jadi, bila anda hendak melakukan latihan beban? Satu badan sudah lesu!
Solusinya, anda boleh lakukan senaman yang berimpak rendah seperti berbasikal dan berjalan naik bukit. Berjalan naik bukit ini ada boleh lakukannya di treadmill kerana ada treadmill yang boleh dinaikkan bahagian depannya dan membuatkan seolah-olah anda berjalan naik bukit.
Melakukan terlalu banyak kardio
Ini ada kaitan dengan kalori. Asasnya, sekiranya anda mahu membina otot yang besar, anda memerlukan lebihan kalori. Maka, sekiranya anda melakukan terlampau banyak kardio, itu akan membakar kalori anda dengan banyak dan menyebabkan proses perkembangan otot menjadi statik.
Lakukan kardio dalam kadar yang ideal. Jangan terlalu banyak sesi. Secara idealnya, anda patut lakukan kardio 3 kali seminggu dan tak lebih dari 20 hingga 30 minit per sesi. Ini disebut dalam satu kajian.
Kesimpulan
Bilamana anda sudah pandai menguruskan antara sesi latihan beban dan kardio, pasti tidak ada masalah untuk anda menumbuhkan otot secara signifikan.