Roelly Winklaar Bocor Rahsia Dapatkan Trisep Besar

Saya anggap Winklaar tidak perlu diperkenalkan lagi.

Atlet bina badan profesional IFBB dari Belanda ini mendapat perhatian sebagai antara atlet bina badan terbaik di era moden. Roelly Winklaar mempunyai keunikannya yang tersendiri. Beliau pernah dikatakan sebagai “tidak normal” kerana mempunyai lengan yang sangat besar. Mari kita kita pelajari apa yang beliau lakukan untuk mendapat lengan yang sebesar itu:

Kursus Kecergasan 2024

Terdapat satu artikel yang menyenaraikan 10 prinsip untuk membina otot menurut Winklaar. Antara yang menjadi prinsip beliau ialah memberi tumpuan yang lebih pada kelemahan. Menurut beliau, menjadi seorang atlet bina badan adalah untuk mencapai bentuk badan yang simetrikal. Maka, kita perlu membina seberapa banyak otot yang kita mampu.

Selain daripada itu, Winklaar juga menegaskan bahawa sebagai atlet bina badan, kita perlu mengekalkan pengulangan latihan sebanyak 12 hingga 15 rep. Sekali lagi disebutkan, tumpuannya adalah untuk membina seberapa banyak otot di badan, bukannya kekuatan. Kata beliau, “I am not a weightlifter, I am a bodybuilder.

Ada satu prinsip membina otot beliau yang saya anggap menarik dan unik. Beliau pernah sebutkan perkara ini dalam satu hantaran di akaun Instragamnya.

Lakukan bench dips!

Jikalau anda pernah menonton video yang dimuat naik oleh Larry Wheels, seorang pempengaruh kecergasan, pasti anda akan dapati bahawa salah satu senaman lengan wajib dilakukan oleh Winklaar ialah bench dips.

Beliau akan lakukan bench dips berserta beban di atas pahanya. Kenapa beliau lakukan bench dips? Beliau jawab begini:

“Bagaimana saya membesarkan trisep saya? Selain daripada genetik, saya menggabungkan semua jenis variasi senaman trisep: Pushdown, skullcrushers, one-arm dumbbell extension. Salah satu kegemaran saya ialah bench dips yang tradisional ini. Kadang-kadang pada set terakhir saya akan melakukan drop set. Saya bermula dengan empat piring beban (45 paun) di kaki saya, dan setiap 7-8 ulangan satu piring beban dilucutkan sehingga saya mengakhiri senaman tanpa piring beban dan teruskan (sehingga mencapai kelesuan total). Semua secara berterusan, saya lakukan 35-40 ulangan, dan itu akan meledakkan trisep saya.” (Terjemahan bebas)

Saya amati, terdapat ramai yang menitikberatkan keselamatan ketika melakukan bench dips. Ayuh kita sama-sama pelajari cara-cara melakukan bench dips dengan selamat dan berkesan.

Cara-cara Melakukan Bench Dips dengan Berkesan dan Selamat

Perkara pertama yang perlu diberi tumpuan ialah posisi ketika melakukan bench dips. Pastikan mobiliti bahu tidak berada pada posisi yang membahayakan kerana itu dapat mencederakannya.

Ebenezer Samuel dalam Men’s Health mengajarkan langkah-langkah untuk melakukan bench dips dengan betul seperti berikut:

  1. Duduk dihujung bangku dengan tangan dipanjangkan. Tolakkan sedikit badan ke depan sehingga punggung melepasi bangku dengan tangan sedikit dilenturkan dan diaktifkan otot trisep.
  2. Pergelangan tangan perlu mengadap ke luar badan. Tangan kanan perlu mengadap kanan dan tangan kiri perlu mengadap kiri.
  3. Lenturkan tangan sehingga terasa tegang di bahagian trisep dan bahu.
  4. Tolak badan ke atas. Itu dikira sebagai satu repetisi.

Apa yang perlu dielakkan ketika melakukan bench dips?

Pertama, kita turun terlalu bawah sehingga menegangkan sendi bahu. Ketika kita melenturkan tangan, cukuplah sekadar 45 darjah sehingga otot tricep terasa.

Kedua, siku terlalu jauh dari badan atau terlalu depa. Ini juga akan membahayakan otot bahu.

Pastikan kita tidak turun terlalu bawah dan posisi siku kita dekat dengan badan kita supaya dapat mengoptimumkan penggunaan otot trisep dan bahu ketika melakukan bench dips.

Kesimpulan

Salah satu senaman yang biasa dilakukan oleh Roelly Winklaar untuk membina otot trisep yang sangat besar ialah dengan bench dips. Sekiranya kita berminat untuk mempunyai otot yang sebesar itu, kita wajib mengambil perhatian dan memandang serius terhadap senaman ini.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: