Semak Jika Anda Lakukan Kesalahan Ini!
Kejayaan biasanya diiringi dengan banyak kegagalan dan kesilapan. Tak ada kejayaan boleh dikecapi terus dari awal, semuanya mesti lalui banyak onak dan duri, liku-liku kesusahan, ombak kehidupan, sebelum berjaya menawan puncak tertinggi.
Meskipun begitu, tidaklah bermaksud anda kena buat juga kesilapan yang sama seperti orang-orang lain yang telah melakukan kesalahan tersebut. Apa yang kita boleh buat ialah mempelajari daripada kesilapan orang lain, belajar tangani masalah tersebut, dan terus belajar lagi daripada kesilapan sendiri.
Orang Baru Tak Lari Daripada Tersimpang
Sejauh mana anda lari daripada jalan yang betul, itu bergantung kepada diri anda. Apa yang penting ialah anda tahu dan akui kesilapan dan anda cuba perbaiki untuk dapatkan hasil yang lebih baik. Jangan dah tahu salah tapi masih buat-buat tak tahu. Inilah yang orang malu bertanya akan sesat jalan.
Apa yang saya nak kongsikan merupakan beberapa kesalahan yang saya lakukan pada masa mula-mula latihan saya dan apa yang saya nampak orang lain banyak lakukan juga.
Cuba anda baca sampai habis dan nilaikan sendiri samada anda melakukan perkara yang sama ataupun tidak.
Tapi sebelum itu, jangan lupa untuk baca tentang azam tahun baru 2024.
Percaya Lagi Cepat Lagi Bagus
Saya bermula dengan badan yang kurus, sekitar 45kg sahaja dahulu. Apabila saya bergiat dengan dunia gym, saya terus bertekad untuk naikkan sebanyak berat badan yang saya mampu dalam masa tersingkat. Dan, saya berjaya naik sehingga 20kg (menjadi sekitar 65kg) dalam masa 2 bulan sahaja.
Macam mana saya lakukan masa itu? Saya makan sehingga 8 pinggan nasi sehari. Saya berasa kenaikan tersebut adalah satu pencapaian yang betul-betul baik (dan terasa hebat). Seingat saya pada masa itu, saya merasakan semua kenaikan tersebut adalah kenaikan otot. Jika ada kenaikan lemak sekalipun, saya yakin saya boleh membakarnya dengan mudah.
Jika saya sedar masa itu yang saya telah tersilap faham tentang kenaikan berat dan otot, nescaya saya akan berhenti mengejar kenaikan secepat mungkin. Kenaikan pada ketika itu semestinya, dan majoritinya, adalah kenaikan lemak! Seluar saya daripada 27, terus kena pakai saiz 38 (atau 42, saya kurang ingat).
Sedarlah wahai pembaca, otot bukan mudah untuk terbina. Mana mungkin boleh naik 20kg otot semata-mata dalam masa 2 bulan (melainkan anda memiliki genetik yang baik, memori otot yang bagus, dan juga pernah memiliki jisim otot sebanyak itu sebelum ini). Lagi cepat anda naikkan berat, lagi banyaklah lemak yang akan terbina dan percayalah, bukan mudah nak membakar kesemua lemak yang anda bina. Lagipun, sia-sia masa anda, bina lemak bukan bina otot.
Percaya Lagi Berat Lagi Bagus
Dulu, saya fikir saya orang terpandai sekali dengan mencipta satu program latihan sendiri yang membenarkan saya untuk mengangkat bebanan berat (hampir mencecah 1-rep maksima) dengan kerap dan mempercayai cara saya lakukan adalah cara terbaik sekali untuk membina kekuatan sambil membina otot.
Saya bawa log latihan ke setiap sesi latihan. Memang bagus ada log latihan, tapi saya nampak agak angkuh masa itu kerana memandang orang lain hanya mengangkat besi tanpa ada sebarang rekod dan log angkatan. Sedikit teguran pada semua, jangan berasa diri terlalu hebat dan memandang rendah orang lain.
Sampailah satu hari, saya melakukan rack pull seberat 160kg dan berjaya mencederakan diri sendiri sehingga saya kena berhenti lakukan angkatan berat (kompaun) selama 6 bulan. Seksanya masa itu, saya kena berjumpa dengan doktor, ahli fisio, dan ramai lagi untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami.
Tak salah langsung untuk melakukan angkatan mencecah 1-rep maksima, tapi tidaklah pada awal fasa dunia latihan anda. Ketika awal-awal ini, badan anda masih belum dilatih untuk menjalani latihan dengan intensiti sebegitu tinggi. Kita kena kuatkan dahulu bahagian teras, kukuhkan dahulu teknik angkatan, dan biasakan diri dengan latihan secara menyeluruh.
Paling penting ialah, jangan pandai-pandai dengan program latihan. Dah nama pun masih baru, mana mungkin pandai nak menyusun program latihan yang baik. Anda memerlukan seorang jurulatih yang boleh memantau latihan anda, ataupun anda ambil sahaja mana-mana program latihan yang dah terbukti berkesan. Banyak program latihan boleh didapati di laman sesawang sekarang, hanya kena Google sahaja.
Kalau nak cari supplement, tak perlu Google pun boleh. Terus tekan sahaja di sini.
Percaya Lagi Lama Lagi Berkesan
Buat latihan sampai berjam-jam, masuk pagi keluar petang, malam datang lagi. Anda seorang ahli bina badan professional? Oh, patutlah kerja anda pergi berlatih sahaja. Tak apalah, teruskan jika begitu.
Eh, anda bukan ahli bina badan professional? Anda ada kerja harian tetap yang lain? Anda ada keluarga yang perlu diprioritikan? Anda sanggup ketepikan kewajipan hanya kerana nak pergi ke gym dan mengangkat besi? Betulkan dahulu kepentingan dalam hidup anda.
Orang yang baru mula, anda nak buat apa dekat gym lama-lama? Fokus anda adalah untuk berlatih, dan latihan anda haruslah tertumpu pada tingkatkan tahap kecepakan anda dengan gerakan senaman. Duduk lama-lama di gym, tiru senaman orang itu orang ini, main telefon bimbit, mengorat dengan ahli-ahli gym yang lain, anda dah tak ada kerja nak buat?
Jika anda orang kaya, bujang, dan memang pasti tak ada benda lain anda nak buat, pun anda minat duduk di gym untuk meleraikan stress yang bertimbun dalam hidup, maka teruskanlah. Kalau tidak, tumpukan latihan anda pada yang sepatutnya. 60-90 minit sudah memadai (malah orang lama pun ada yang boleh selesaikan latihan dalam masa yang lebih singkat daripada itu).

Jangan Mudah Putus Asa, Sahabat!
Semua orang perlu mula dari suatu titik permulaan. Jika anda teruskan usaha, makin lama destinasi anda akan semakin hampir. Kata kunci di sini ialah teruskan berusaha dan berjalan menuju ke arah yang anda ingin hala.
Bak kata pepatah; you have 100% chance of missing if you do not take the shot.

