8 Amalan John Cena Ketika Melakukan Latihan Beban di Gim

John Cena adalah seorang selebriti, ahli gusti profesional dan bekas penyanyi rap. John Cena telah terlibat dalam WWE sudah 20 tahun. Sekarang, beliau hanya akan muncul dalam gelanggang WWE sebagai separuh masa saja.

Kursus Kecergasan 2025

Menurut M&F, terdapat 8 prinsip yang John Cena pegang ketika melakukan latihan beban di gim.

Satu: Tidak mendengar muzik di gim

John Cena pernah berkata, beliau tidak mendengar muzik ketika melatih beban. Ini barangkali kerana beliau ingin benar-benar fokus pada latihannya.

Ini tidak menafikan bahawa terdapat beberapa kebaikan mendengar muzik ketika melatih beban. Reid Health telah menggariskan beberapa kelebihan dengan bukti daripada kajian saintifik.

Antara kelebihan mendengar muzik ketika melatih beban adalah dapat meningkatkan semangat, mengubah mood, melupakan kita daripada rasa lelah, membuatkan kita berlatih lebih kuat dan sebagainya.

Namun, mendengar muzik juga boleh mengganggu seperti susah untuk berkomunikasi dengan rakan di gim. Mendengar lagu kuat-kuat juga dapat merosakkan pendengaran kita. Jadi, hendaklah kita berhati-hati.

Asasnya, John Cena tidak mengamalkan mendengar muzik ketika melatih beban.

Dua: Jangan pakai Smith Machine

John Cena tidak suka menggunakan Smith Machine. Beliau berkata, Smith Machine memaksa kita bergerak dalam satu pergerakan yang khusus.

Ia tidak menguatkan kestabilan badan. Apabila kita menggunakan beban bebas (free weight), ia memberi kesan yang signifilan pada teras badan kita.

Livestrong ada menegaskan beberapa kelebihan beban bebas berbanding Smith Machine. Contohnya, beban bebas bertindak menguatkan badan kita secara menyeluruh berbanding Smith Machine. Dengan beban bebas, lebih banyak otot yang terlibat kerana hendak mengimbangkan seluruh badan.

Jadi, gunakan beban bebas berbanding Smith Machine. Smith Machine adalah baik untuk pemula kerana ia mengehadkan pergerakan.

Tiga: Jangan tinggal squat!

Satu senaman yang wajib dilakukan untuk otot-otot bawah badan ialah squat. Meskipun anda lebih suka dengan leg press dan sebagainya, anda tetap harus melakukan squat.

Squat bukan sahaja memberi manfaat pada otot paha, punggung dan sebagainya, tetapi juga ia memberi kesan yang besar pada seluruh badan. Ia juga membantu kita melakukan pekerjaan harian dengan lebih mudah.

Insider ada menggariskan beberapa kelebihan yang squat berikan kepada kita. Antaranya, ia membakar banyak kalori di seluruh badan. Jikalau anda mahu membakar banyak kalori untuk menurunkan berat badan, anda perlu amalkan squat.

Squat juga membantu mencantikkan postur badan kita. Jadi, amalkan squat, jangan tinggal. Ia merupakan senaman kompoun yang banyak memberi manfaat.

Empat: Baiki kelemahan

Sepanjang kita melakukan latihan beban, pasti kita akan perasan beberapa kelemahan yang kita ada. Mungkin ketika melakukan bench press, kita dapati trisep kita tidak begitu kuat ketika menolak beban ke atas.

Ini boleh dibaiki dengan melakukan senaman-senaman isolasi yang berfokus pada otot trisep seperti tricep extension, tricep pulldown dan sebagainya.

Lima: Letak balik beban selepas diguna!

Ini berkait rapat dengan etika ketika di dalam gim. Selepas menggunakan beban untuk berlatih, jangan lupa letakkannya kembali di tempat asal. Jangan biarkan begitu sahaja. Ia akan menyusahkan orang lain untuk mencari. Bertimbang rasalah dengan pengguna-pengguna lain.

Enam: Makin tua, makin lama masa yang diambil untuk berehat

Kata John Cena, ambillah lebih masa untuk berehat. Apatah lagi ketika lebih berumur. Healthline menekankan kepentingan mengambil masa rehat selepas melatih beban. Otot memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan beban yang dilatih.

Tanpa waktu rehat, perkembangan otot akan terhalang. Apabila kita meningkat usia, lebih lamalah masa yang diperlukan untuk otot berkembang.

Tujuh: Cuba benda baharu

Senaman baharu, kadar rep baharu, variasi senaman baharu dan lain-lain.

Ini adalah untuk mencapai dua perkara: Lebih cabaran untuk otot dan kesan yang merangkumi lebih banyak serat otot.

Kadang-kadang, terdapat jenis senaman yang tidak menyasarkan keseluruhan serat otot. Contohnya, senaman untuk dada. Selain daripada bench press, kita perlu lakukan juga chest fly dan sebagainya. Ia lebih memberi kesan pada keseluruhan otot.

Lapan: Lakukan, jangan malas!

Walau apa pun yang terjadi, satu sahaja yang kita perlu ingat, iaitu lakukan. Hasil tidak akan tercapai tanpa ia dilaksanakan.

Kata John Cena, pastikan kita ada matlamat yang realistik. Pecahkan matlamat besar kita kepada matlamat yang kecil. Contohnya, matlamat mengikut bulan. Bulan ini kita mahu capai apa? Bulan depan kita hendak capai apa? Begitulah seterusnya.

Akhir

Beberapa perkara yang dapat pelajari daripada amalan-amalan John Cena ketika melatih beban di gim, iaitu cuba capai matlamat yang realistik dan masuk akal, cuba variasi senaman baharu supaya otot sentiasa dicabar dan berikan masa untuk otot berkembang.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: