Bakar Lemak Atau Bina Otot Dengan Cara Anda Sendiri

Semua orang mempunyai matlamat kecergasan masing-masing. Ada yang nak membina otot, ada pula yang nak membakar lemak dan jadi semakin kurus. Mungkin ada yang nak jadi lebih kuat, ada juga yang nak tingkatkan prestasi sukan mereka. Tak kisahlah apa sekali matlamat yang dihajati, semua memerlukan kepada latihan dan memakan masa.

 

Wujudnya matlamat sebegini kerana ada pendorong, dan kebanyakan masa pendorong tersebut datang daripada individu lain yang dah mengecapi matlamat yang sama seperti yang kita sasarkan. Dengan kata mudah, kita mahu jadi seperti dia.

 

Mungkin kita terlihat ahli bina badan dalam mana-mana video dan kita berfikir, kita ingin jadi seperti dia yang memiliki badan yang sasa dan dikelilingi peminat yang ramai. Ataupun, kita suka tonton sukan dan ada seorang ahli sukan yang kita betul minat dengan gaya dan cara permainannya. Maka, kita pun nak tiru caranya untuk jadi sepertinya.

 

Satu benda anda kena faham, meskipun anda ingin tiru gayanya, cara mereka, dan apa sahaja yang mereka buat dengan tujuan untuk jadi seperti mereka, perlawanan akhir adalah antara diri anda sendiri. Paling penting, anda kena jadi diri sendiri dan jangan sesekali bandingkan apa yang anda ada sekarang dengan keberadaan orang lain.

 

Kursus Kecergasan 2024

 

Mari baca sekejap artikel yang saya tulis sebelum ini dengan menekan di sini.

 

Apa Matlamat Utama Anda?

 

Kini, fikirkan matlamat utama anda dalam latihan. Sudah? Macam mana anda nak capai matlamat tersebut?

  • Tanya mereka yang dah berjaya.
  • Analisis apa yang mereka dah lakukan.
  • Tiru? Bukan, tapi adaptasi amalan mereka ke dalam kehidupan anda.

 

Membakar Lemak

 

Kalau matlamat anda adalah untuk membakar lemak dan anda pun sudah mengkaji cara-cara yang orang ramai (yang dah berjaya) amalkan, anda akan dapati yang terdapat pelbagai cara untuk turunkan berat badan serta membakar lemak. Ada yang mengamalkan diet kalori, ada yang bersumpah teknik diet IF adalah paling berkesan. Tidak lupa juga diet-diet yang lain seperti diet Keto, diet Paleo, dan lain-lain. Ada yang tak diet langsung, bagi jawapan kata makan sahaja apa-apa. Mana satu anda nak ikut?

 

Sekali imbas, anda mungkin aka keliru dengan jawapan yang diberikan dan anda pun tak tahu nak ikut yang mana. Tapi, kalau anda korek lebih dalam lagi, rupanya mereka mengamalkan benda yang sama iaitu mereka memakan makanan dalam kuantiti kalori yang semakin lama semakin rendah, kurang daripada keperluan badan.

 

Banyak cara yang anda boleh guna untuk berada dalam fasa defisit kalori, tapi cara mana nak guna adalah bergantung atas diri anda sendiri. Yang mana satu yang anda boleh konsisten dan amalkan tanpa permasalahan yang besar, itulah cara yang anda guna.

 

Meskipun anda terpaksa guna cara yang terbukti kurang berkesan sedikit berbanding cara yang lain, adalah lebih baik anda lakukan cara tersebut selagi mana anda boleh konsisten daripada melakukan cara paling terbaik tapi tak dapat nak tetapkan diri mengamalkannya, sekali gus tidak membawa apa-apa hasil langsung.

 

Membina Otot

 

Menggunakan prinsip yang sama, anda boleh lihat otai-otai dalam gym yang badan dah siap, tak semua main dengan cara yang sama. Ada yang main sikit, ada yang main banyak. Ada yang duduk dalam gym 45 minit dah balik, ada yang duduk 3 jam, tapi masih tak siap berlatih lagi.

 

Teliti lebih mendalam, anda akan tengok yang mereka berlatih dengan menerapkan satu asas utama iaitu kemajuan dalam latihan. Makin lama, makin berat bebanan yang digunakan. Makin lama, makin bertambah jumlah ulangan dan set yang dibuat. Makin lama, makin bertambah jumlah senaman yang dilakukan.

 

Mereka tidak melakukan latihan yang sama setiap kali masuk ke gym. Latihan mereka kasar dan mencabar. Maka, itu juga prinsip yang anda perlu terapkan. Cara mana anda nak guna, itu terpulang. Janji, anda berlatih sehabis baik dan sentiasa cabar diri. Konsisten dan masa memainkan peranan terbesar dalam apa-apa urusan sekali pun untuk mencapai sebarang matlamat yang besar.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: