Buntu Kenapa Badan Masih Kurus? 5 Perkara Ini Mungkin Puncanya!

Biasa kita dengar orang-orang yang terlalu kurus mengadu bahawa mereka telah cuba pelbagai cara untuk menambahkan berat badan tetapi gagal. Mereka ini dipanggil hard gainers atau lebih dikenali sesetengah pihak sebagai individu-individu yang memiliki tubuh badan jenis ectomorph. Rujuk entri Bentuk Badan oleh Zaki Khan untuk ketahui tentang jenis-jenis bentuk badan manusia!
Orang kata mereka yang berbadan ectomorph ini boleh makan apa sahaja dan tidak akan naik berat badan. Mereka mempunyai metabolisme yang sangat tinggi, membakar semua benda yang mereka makan. Maka, mereka pun memberi alasan yang mereka sudah makan banyak tetapi masih gagal untuk menambah berat badan!
Saya dah makan banyak, orang kata saya macam sudah bela jin! Makan banyak pun belum boleh naik berat badan.
Berapa kali makan banyak, kita tanya mereka semula, dan jawapan biasanya 3-4 kali. Baik, tak ada masalah jika nak makan 3-4 kali sehari sahaja sekali pun untuk naikkan berat badan. Kalau anda boleh dapatkan kalori yang cukup dalam kekerapan makan tersebut, maka teruskan.
Untuk tambah berat badan, ubatnya hanyalah memakan lebih daripada keperluan seharian. Anda mungkin rasa anda sudah makan banyak, tapi jika anda masih gagal untuk menaikkan skala penimbang berat, hakikatnya anda masih belum makan melebihi yang diperlukan.
Mari kita lihat 5 sebab yang menyekat anda daripada mencapai misi menaikkan berat badan:
1- Kurang Jumlah Kalori Harian
Ramai hanya menyangka yang dia dah makan banyak dan cukup pengambilan kalori, tetapi jika anda mengambil rekod seperti membuat satu diari pemakanan, anda akan dapati yang pengambilan makanan anda sebenarnya tidak cukup.
2- Terlebih Aktiviti Fizikal
Mungkin anda tidak sedar yang aktiviti harian anda melibatkan penggunaan tenaga yang tinggi, terutama pekerja-pekerja yang memerlukan pengerahan tenaga fizikal seperti pekerja buruh. Mungkin juga anda kerap berjogging jangka masa lama dan ini akan membakar lebih kalori berbanding biasa. Semakin banyak aktiviti fizikal anda lakukan, semakin tinggi keperluan kalori yang anda perlu ambil.
Adakah anda patut kurangkan aktiviti fizikal? Tidaklah jika itu adalah gaya hidup anda. Sebaliknya, susun atur jadual dan buat pilihan aktiviti yang kurang membakar sedikit daripada aktiviti sebelum ini. Jika tidak boleh, anda memang kena tambahkan lagi kalori harian. Boleh cuba produk seperti mass gainer untuk tingkatkan kemasukan kalori.
3- Salah Program Latihan
Adakah anda dari kalangan mereka yang pergi ke gym dan mula buat bicep curl dahulu? Atau setiap kali ke gym, anda hanya akan chest press sahaja? Jika ya, tidak hairanlah mengapa anda belum berjaya menambah saiz badan. Rujuk entri sebelum ini untuk panduan dalam memilih senaman yang sesuai bagi meningkatkan saiz badan!
Pilihan senaman merupakan satu benda, konsistensi anda duduk menghadap program latihan yang sama untuk berminggu-minggu yang akan datang juga penting dalam proses menaikkan jisim badan, terutamanya jisim otot. Anda nak lihatkan kemajuan dari segi saiz dan kekuatan, kedua-dua ini memerlukan kepada program latihan yang konsisten.
4- Tidak Konsisten Dalam Latihan
Saya dah sebutkan tentang konsisten tadi, bukan? Saya tetap nak jadikan isu konsisten sebagai hujahan lain kerana pentingnya konsisten dalam latihan kita sehingga jika anda tidak bermotivasi sekali pun untuk berlatih, pastikan anda konsisten dengan diri anda. Tetap berlatih walaupun tiada pendorong semangat, tetap berlatih walaupun malas.
Untuk berjaya dalam sebarang perkara, anda perlu menjadi konsisten. Kadang-kala ramai bersemangat pergi ke gym setiap hari bersama kawan-kawan mereka dengan motivasi yang sama. Malangnya, semangat ini hanya untuk seminggu dua. Untuk mengatasi masalah ini, anda perlu cari jalan supaya latihan dan pemakanan anda lebih seronok dan berkesan! Tidak guna pergi ke gym setiap hari jika anda tidak mampu untuk mengekalkan momentum latihan.
5- Ragu-ragu Dengan Diri Sendiri
Kepercayaan memainkan peranan besar untuk mendapatkan hasil yang optimum. Teringat saya pada satu lagi dengan liriknya;
Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu
Jika anda sentiasa berprasangka buruk, anda tidak akan mencuba dan apabila anda tidak mencuba, sampai bila anda hendak berjaya? Kegagalan hanyalah bermakna anda selangkah hampir ke arah kejayaan!