Kalau Anda Malas Bersenam, Anda Wajib Baca Artikel Ini!

Motivasi dapat membangkitkan kembali semangat daripada rasa putus asa
Motivasi adalah unsur yang paling penting dalam menjayakan sesuatu. Ketahuilah, orang-orang hebat di luar sana pasti sungguh bermotivasi. Tanpa motivasi, seseorang sukar untuk mencapai matlamat hidupnya.
Motivasi adalah penggerak sesuatu kerja keras.
Namun demikian, adakah setiap masa seseorang itu mempunyai motivasi? Tidakkah ada masa-masanya dia akan bersedih, dia akan rasa putus asa dan sebagainya?
Ya. Kita manusia. Kita mempunyai intelek dan emosi. Intelek berfungsi untuk menaakul segala fenomena kehidupan secara rasional, manakala emosi adalah untuk memberi makna kepada kehidupan.
Kita bersedih, kita marah, kita rasa murung, ini semua berpunca daripada emosi.
Jadi, adakah emosi itu buruk?
Tidak. Yang buruk itu bukanlah emosi, akan tetapi ketidakseimbangan antara intelek dan emosi.
Jikalau kita menggunakan kerasionalan secara berlebihan, ia tetap membawa padah. Begitu juga sebaliknya.
Motivasi terbahagi kepada dua:
Motivasi intrinsik
Motivasi ekstrinsik
Motivasi intrinsik adalah semua yang berkaitan dalaman seperti matlamat besar dan sebagainya. Motivasi ekstrinsik adalah semua yang berkaitan luaran seperti hadiah dan lain-lain.
Kedua-dua ini membuatkan seseorang itu bermotivasi. Orang yang mempunyai tujuan yang jelas pasti akan bermotivasi dan bersemangat untuk bekerja keras dalam mencapai matlamatnya.
Jadi, di sini, saya ingin menekankan perihal KENAPA.
Anda harus sentiasa bermuhasabah dengan KENAPA anda lakukan APA yang anda lakukan. The BIG WHY.
Perihal KENAPA ini ditulis secara terperinci dan mendalam oleh seorang penceramah motivasi terkenal dari Amerika Syarikat, Simon Sinek. Beliau menulis buku Start With Why (mulakan dengan kenapa).
Meskipun buku ini lebih menyasarkan kepimpinan, namun demikian saya berpandangan buku ini bagus sebagai satu sumber motivasi secara umum. Jikalau anda malas pergi ke gim untuk bersenam, anda perlu menyemak kembali KENAPA anda.
KENAPA anda pergi gim sebelum ini?
Kalau hari ini anda sudah menjadi malas. Anda perlu imbas kembali, dulu KENAPA anda pergi?
Memahami dan menyedari KENAPA ini adalah satu langkah paling bagus untuk kita kekal bermotivasi dalam melakukan kerja untuk mencapai matlamat kehidupan.
Contohnya:
Anda dahulu hendak menurunkan berat badan kerana ingin hidup sihat. Itulah KENAPA anda. Iaitu:
INGIN HIDUP SIHAT
Jadi, macam mana anda hendak capai KENAPA “ingin hidup sihat” ini?
Dengan senaman-senaman. Dengan mengamalkan diet yang seimbang. Dengan tidur yang mencukupi dan bangun awal pagi. Aktif sepanjang hari.
Kalau anda rasa penat dengan mengharungi cabaran. Anda perlu fikir kembali KENAPA anda.
Sudah semestinya untuk mencapai sesuatu yang hebat memerlukan cabaran yang hebat juga. Tanpa cabaran, maka apakah maknanya suatu keberhasilan?
Menurut Simon Sinek, orang-orang hebat di dunia semuanya bergerak daripada KENAPA mereka.
Para jutawan, mereka tidak bekerja untuk duit. Duit bukan KENAPA. Duit bukan tujuan mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Mereka ingin mencapai satu perkara yang lebih besar daripada sekadar duit. Duit yang membawa mereka mencapai apa yang mereka hendak capai.
Menurut Sinek, duit adalah semacam minyak. Membeli kereta bukanlah bertujuan untuk minyak. Akan tetapi, membeli kereta adalah untuk sampai ke suatu destinasi, minyaklah yang membawanya ke sana.
Sama macam duit. Duit bukan tujuan, tetapi bahan untuk mencapai tujuan. Tujuan itu lebih besar berbanding sekadar duit.
Jelaslah dengan KENAPA anda lakukan apa yang anda lakukan.
Sudah pasti, anda boleh konsisten bermotivasi.
Selamat pergi ke gim!