Kisah Inspirasi David Goggins: Henyak Sampai Lunyai

Orang yang paling tabah di dunia

David Goggins adalah seorang individu yang dikatakan paling berdisiplin dan berusaha. Sekiranya kita mendalami kisah peribadi beliau, perjalanan beliau menjadi orang hebat bukanlah mudah. Macam-macam yang terjadi kepada beliau sejak kecil. Kita pun tidak mampu membayangkannya!

Kursus Kecergasan 2024

Buku Can’t Hurt Me adalah buku memoir tulisah David Goggins yang mengisahkan kehidupan beliau. Di dalam buku ini, terbanyak banyak kisah-kisah menarik yang dapat dijadikan pedoman kita untuk terus kuat dan maju dalam kehidupan.

Goggins bukanlah seorang ahli motivasi yang biasa-biasa. Beliau tidak pernah menafikan kesusahan dan kepayahan dalam apa-apa perjuangan. Bagi beliau, jikalau kita hendak mencapai kejayaan, tidak ada jalan yang mudah melainkan kita wajib juga mengharungi “seksaan” itu.

Kita tidak memerlukan jalan yang mudah, sebaliknya mentaliti kelas pertama. Bak kata Goggins sendiri, “Mental toughness is a lifestyle.” Kekuatan mental adalah gaya hidup.

Kehidupan ini adil. Jikalau kita mahukan kejayaan yang tinggi nilainya, maka usahanya pun juga tinggi setanding dengan apa yang kita capai itu. Makin hebat sesuatu matlamat, makin hebat juga cabaran dan rintangan untuk mengharunginya.

Tentang David Goggins

Goggins adalah bekas tentera udara dalam Navy SEAL yang telah menjadi atlet ultramaraton dan triatlet. Ramai orang suka menonton video-video yang beliau lakukan bercakap tentang perjuangan dalam hidup, usaha mengubah hidup dan sebagainya.

Dalam kententeraan mahupun sukan, beliau bukanlah biasa-biasa. Beliau pernah memecah rekod paling banyak melakukan pull-up di dunia, iaitu sebanyak 4,030 dalam masa 17 jam. Beliau juga banyak memecahkan rekod dalam ultramaraton dan triatlet. Beliau telah menjadi antara lima atlet terbaik di dunia dalam cara tersebut.

Sebelum Goggins menjadi siapa beliau yang sekarang, beliau sebenarnya berasal daripada keluarga susah.

Ibu bapanya bercerai. Beliau bersama abang dan ibu berpindah ke Indiana. Semasa bersekolah di Indiana, beliau sering dibuli kerana paras rupanya. Bukan itu sahaja, beliau juga tidak reti membaca. Tahap akademiknya tidak bagus.

Selepas habis sekolah, beliau memasang impian untuk masuk tentera. Beliau pun akhirnya diterima masuk ke tentera udara. Beliau bekerja sebagai tentera tidak lama, lima tahun sahaja. Beliau berhenti.

Selepas beliau berhenti, beliau banyak membuang masa. Makan banyak dan tidak berbuat apa-apa. Disebabkan itu, berat badannya naik sehingga ke tahap yang tidak sihat.

Selepas lama menjadi begini, beliau ada menonton televisyen mempromosikan Navy SEAL. Sepertimana yang kita tahu, SEAL ini adalah ketenteraan Amerika Syarikat yang elit dan hebat. Bukan biasa-biasa orang dapat masuk.

Dalam keadaan begini, bukan mudah bagi Goggins untuk menyertai SEAL. Beliau pun pergi ke gim untuk bersenam menurunkan berat badan. Berlari sendikit pun beliau sudah mengah, bagaimana hendak menyertai SEAL? Jauh perjalanan!

Beliau tidak berputus asas. Beliau berlari setiap hari. Beliau melakukan latihan beban. Akhirnya, beliau diterima masuk ke SEAL.

Selepas habis berkhidmat di SEAL, beliau aktif dalam ultramaraton dan triatlet. Banyak rekod dunia yang dipecah oleh beliau.

Nasihat-nasihat David Goggins untuk Menjadi Lebih Hebat!

Keluar daripada zon selesa!

Kekal dalam zon selesa tidak mendedahkan kepada kita potensi dan peluang di luar sana. Kita akan hanya tersekat pada perkara yang kita sudah biasa sahaja. Macam mana hendak maju?

Keluar daripada zon selesa. Kalau semua orang mencapai kehebatan dengan perkara mudah, maka apalah nilai kehebatan tersebut?

Bukan semua orang mampu mengharungi kepayahan walaupun kepayahan itulah yang membuatkan kita menjadi lebih hebat.

Kuasa Minda Kita!

Fizikal bukanlah penghalang utama, tetapi cara kita berfikir. Kita sentiasa berfikir yang kita tidak mampu, tidak boleh, tidak pasti, tidak, tidak dan tidak. Disebabkan itu, fizikal kita akan ikut sama.

Badan kita akan bertindak sesuai dengan fikiran kita. Fikiran kita menguasai segala-galanya. Maka, fikirlah yang baik-baik. Kuasai minda kita!

Latih Lebih!

Untuk beransur maju, kita perlukan latihan yang lebih. Lebih rep, lebih set, lebih variasi senaman, lebih masa, lebih mencabar dan segala lebih lagi.

Jangan buat perkara yang sama sahaja berulang kali. Tambah lagi beban dan lain-lain agar lebih mencabar. Jangan manja sangat!

Fikir Tentang Kejayaan, Bukan Pada Perkara yang Kita Mampu Ubah!

Falsafah Stoik mengatakan, kita tidak boleh mengubah fenomena kehidupan, tetapi kita boleh mengawal reaksi dan tindakan kita kepada fenomena tersebut.

Jadi, benda yang kita tidak boleh kawal, lupakan. Fokus pada benda yang kita boleh kawal, yakni tindakan kita. Maka, lakukan yang terbaik.

Jangan Kisah Pada Pandangan Manusia

Untuk menjadi yang terbaik, ia bergantung sepenuhnya pada usaha kita. Jangan kita buat bilamana manusia nampak dan perhati sahaja. Pandangan mereka tidak penting bagi perkembangan diri kita. Kita wajib teruskan berusaha walau di luar pengetahuan orang lain.

Konsisten

Konsistensi adalah kunci kepada kejayaan. Tanpa usaha yang berterusan, hasil akan menjadi kabur.

Akhir

Goggins telah mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi hebat. Jelaslah, cabaran dan kepayahan itu tidak boleh dielakkan. Kalau kita mahu berjaya, maka kita wajib mengharunginya. Kalau kita tidak mahu menjadi apa-apa, maka duduk saja di rumah tanpa berusaha.

Henyak sampai lunyai!

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: