Elak 6 Kesalahan Lazim di Gim: Tip untuk Bebas daripada Kecederaan

Secara kebiasaannya, seseorang yang pergi ke gim mempunyai satu prinsip, iaitu pushing the limit. Dia perlu bersenam dengan lebih mencabar berbanding sesi yang lepas. Ini adalah supaya otot yang disasarkan dapat menjadi lebih kuat dan besar. Dalam dunia kecergasan, ini juga dipanggil sebagai ansur maju atau progressive overload. Namun, dalam keadaan kita hendak bersenam dengan intensiti yang lebih mencabar, kita juga perlu berhati-hati supaya kita tidak mengalami kecederaan. Ingat, kecederaan menghalang kita daripada beransur maju.

Kursus Kecergasan 2024

Terdapat enam kesalahan yang lazim dilakukan di gim. Enam kesalahan ini boleh mencederakan otot anda. Hati-hatilah!

Satu: Tidak memanaskan dan menyejukkan badan

Saya yakin, setiap di antara kita telah diajar untuk sentiasa memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti sukan dan menyejukkan badan selepasnya. Ramai orang yang tidak sabar untuk melakukan aktiviti fizikal berintensiti tinggi sehingga mengabaikan dua perkara ini. Sedar atau tidak sedar, anda telah meletakkan badan anda pada tahap yang terdedah kepada kecederaan.

Tidak memanaskan dan menyejukkan badan boleh menyebabkan otot anda tegang, sendi seliuh (kerana julat pergerakan yang terhad) dan penurunan prestasi. Anda perlu memanaskan badan supaya badan anda bersedia dengan aktiviti berat. Melangkau pemanasan badan dapat mengejutkan badan anda. Kesannya, anda tidak akan dapat mencapai prestasi tinggi.

Yang sepatutnya: Anda perlu panaskan badan dengan senaman ringan dan regangan seperti joging, menghayun kaki, menggerakkan tangan dalam bulatan (arm circles) dan sebagainya. Ini dapat juga dapat mengurangkan sakit otot selepas aktiviti berat.

Dua: Latihan beban dengan teknik yang salah

Asasnya, anda perlu belajar cara-cara untuk melatih beban dengan betul supaya anda tidak meletakkan tekanan yang membahayakan pada sendi. Contohnya, bilamana anda melakukan senaman deadlift, tetapi anda tidak meluruskan belakang anda. Ini boleh membahayakan anda.

Selain daripada itu juga, anda perlu pastikan beban yang diangkat itu sesuai dengan kapasiti anda. Jangan angkat terlalu berat sehingga anda tidak mampu menjayakan satu julat pergerakan dengan sempurna. Jangan ego! Turunkan beban dan sempurnakan teknik!

Yang sepatutnya: Mulakan sahaja dengan beban yang ringan supaya anda terbiasa dengan teknik yang sempurna. Teknik yang cacat tidak akan membantu memperkembangkan otot anda dengan baik. Anda akan hanya nampak “kuat”, tetapi sebenarnya tidak kerana otot anda tidak dilatih dengan betul.

Tiga: Terlebih berlatih atau overtraining

Rehat adalah satu kewajipan bagi otot yang telah diseksa dengan aktiviti berat. Ingat, otot anda berkembang ketika berehat, bukan ketika bersenam. Jikalau anda tidak memberi masa yang secukupnya untuk otot anda berehat, otot anda berpotensi untuk koyak dan kemajuan anda akan terbantut.

Yang sepatutnya: Rehatlah! Anda juga perlu dapatkan masa tidur yang secukupnya. Pada hari yang anda berehat pula, anda perlu lakukan senaman ringan supaya dapat meningkatkan pengaliran darah yang sihat.

Keempat: Mengabaikan rasa tidak sedap pada otot

Kata orang putih, listen to your body! Anda tidak sepatutnya mengabaikan rasa tidak senang pada otot ada. Badan anda memberi mesej kepada anda supaya rehat dan sebagainya. Anda tidak sewajarnya terus menyeksa badan anda.

Yang sepatutnya: Dapatkan khidmat profesional sekiranya otot anda sakit. Jikalau otot anda masih lesu, anda perlu lebihkan berehat.

Kelima: Tidak melakukan latihan mobiliti

Julat pergerakan adalah sangat penting dalam aktiviti angkat berat. Jikalau julat pergerakan anda terhad, khuatir tidak semua bahagian otot anda akan terkesan dengan latihan tersebut. Apabila kita berlatih, kita mahukan seluruh bahagian otot tersebut terkesan. Untuk mencapai ini, julat pergerakan yang sempurna adalah diperlukan.

Yang sepatutnya: Lakukan latihan mobiliti. Pada waktu lapang, luangkan masa untuk meregangkan badan. Anda juga boleh menggunakan getah (resistance band) untuk melakukan senaman mobiliti.

Keenam: Tidak berhidrat

Setiap kereta yang hendak berfungsi memerlukan minyak. Sama seperti anda, anda memerlukan tenaga untuk berfungsi dengan baik. Tanpa nutrisi yang mencukupi, itu akan menghalang badan anda daripada menyerlahkan potensi penuh badan.

Yang sepatutnya: Banyakkan minum air, sebelum dan selepas bersenam. Jaga diet anda. Dapatkan lemak yang berkhasiat kerana lemak merupakan sumber tenaga anda. Selepas mengangkat beban, pastikan anda mendapatkan protein yang mencukup supaya otot berkembang dengan baik.

Ketahui dengan lebih lanjut jenis-jenis kecederaan ketika bersenam:

  1. Kecederaan Ketika Bersenam
  2. Sport Injuries

 

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: