Kenapa Kita Tiba-tiba Demam Selepas Latihan di Gim?

Pernahkah anda tiba-tiba demam selepas melakukan senaman berat di gim? Kata pakar, itu tidak perlu dirisaukan. Demam adalah respons biasa terhadap sesuatu tekanan luar biasa kepada badan. Mari kita sama-sama pelajari apakah sebabnya kita demam selepas latihan di gim:

Kursus Kecergasan 2025

Setiap kali kita pergi ke gim, set minda kita satu sahaja, iaitu untuk berlatih dengan lebih mencabar berbanding sesi yang sebelum. Ini adalah supaya perkembangan otot dapat berlaku dengan signifikan. Sekiranya sesi latihan kita yang kini lebih mudah, maka prestasi kita tidak akan meningkat.

Namun demikian, anda perlu berhati-hati dengan latihan anda. Badan kita mempunyai keperluan biologi. Maknanya, badan kita tidak boleh dengan semberononya diseksa. Badan kita perlu hidrat dan sebagainya untuk berfungsi dengan baik. Kurang memenuhi tanggungjawab biologi terhadap badan boleh mengakibatkan sakit seperti demam.

Terdapat lima sebab kenapa kita tiba-tiba demam selepas melakukan latihan di gim:

Pertama: Suhu badan naik dengan mendadak

Salah satu sebab kenapa kita tiba-tiba demam selepas latihan beban ialah suhu badan kita meningkat dengan mendadak. Ketika kita mengangkat berat, otot kita menghasilkan haba. Ini adalah kerana makin kuat otot kita bekerja, maka makin banyak haba akan terhasil. Disebabkan ini, keseluruhan suhu badan meningkat. Sebab respons, badan kita akan berpeluh untuk menyejukkan badan.

Kedua: Onset Kesakitan Otot Tertunda (DOMS)

Selepas melakukan latihan yang berintensiti tinggi, kita akan terasa sakit pada bahagian otot yang bekerja. Ini dinamakan sebagai DOMS. Rasa sakit ini akan terasa dengan nyata selama 24 hingga 72 jam selepas sesi latihan.

DOMS bukanlah sejenis demam, tetapi rasa tidak nyaman pada otot disebabkan ketegangan otot, kelesuan melampau, tidak larat dan sebagainya. Salah satu respons badan terhadap fenomena otot terkoyak ini ialah terdapat simtom-simtom demam.

Nota: Sekiranya anda mahu ketahui dengan lebih komprehensif tentang DOMS, anda boleh membaca artikel Dato’ Zaki Khan yang bertajuk Tak Sakit Lepas Senaman.

Ketiga: Badan tidak hidrat dan ketidakseimbangan elektrolit

Banyak cecair yang akan terbuang ketika latihan berintensiti tinggi. Ini akan membawa kepada badan yang tidak hidrat. Maka, kita perlu terus minum air untuk memenuhi kefungsian badan.

Selain daripada itu juga, ketika kita banyak berpeluh, kandungan elektrolit juga akan terbuang seperti sodium dan potasium. Ini pula mengakibat ketidakseimbangan badan. Ketidakseimbangan inilah yang akan membuatkan badan kita berasa demam dan sintom-simtom seangkatannya seperti kepala pusing, pening kepala, kelesuan melampau dan sebagainya.

Keempat: Respons terhadap tekanan

Latihan berintensiti tinggi meletakkan tekanan yang tinggi juga pada badan. Sebagai respons kepada tekanan tersebut, badan kita akan mengeluarkan satu hormon yang dinamakan kortisol. Apabila kortisol ini banyak yang terkeluar dari badan, itu akan menyebabkan kita berasa sangat penat sehingga tidak larat untuk melakukan kerja-kerja harian. Ini merupakan respons badan yang seakan-akan demam.

Kelima: Respons sistem imuniti badan

Sistem imuniti badan akan turun atau lemah untuk melawan patogen ketika kita melalukan latihan yang teruk dan menyeksakan badan. Hasilnya, kita akan mendapat simtom-simtom demam seperti pening kepala, selesema dan sebagainya.

Jadi, apa yang kita perlu buat untuk mengelak demam selepas sesi latihan yang berintensiti tinggi?

Pertama: Panas dan sejukkan badan

Lakukan pemanasan dan penyejukan badan dengan betul. Dua hal ini dapat meningkatkan degupan jantung yang optimum dan menggalakkan pengaliran darah ke seluruh badan supaya badan kita bersedia untuk latihan yang berintensiti tinggi.

Ini sama sekali dengan menyejukkan badan selepas habisnya sesi latihan. Menyejukkan badan menenangkan otot yang telah bekerja keras, menggalakkan pengaliran darah dalam otot dan mengurangkan rasa sakit otot selepas sesi latihan.

Kedua: Hidrat

Banyakkan minum air sebelum, semasa dan selepas sesi latihan. Jangan minum air dengan masa yang terlalu jarak. Minumlah setiap 15 minit dengan dua hingga tiga kali teguk. Hidratkan badan adalah meningkatkan kefungsian badan. Badan yang tidak hidrat tidak mampu berfungsi menghadapi intensiti senaman dengan efektif.

Ketiga: Tetapkan intensiti yang sesuai

Setiap kali sesi latihan beban, intensiti yang perlu ditingkatkan adalah pada kadar yang sedikit sahaja, jangan terlalu drastik. Badan anda akan terkejut dengan intensiti yang tiba-tiba tinggi lalu mengakibatkan sakit.

Contohnya, beban yang anda angkat, tingkatkan sebanyak 2.5kg sahaja setiap kali sesi. Ini merupakan kadar beban yang realistik dan boleh diterima badan.

Keempat: Keperluan nutrisi yang mencukupi

Pastikan anda mendapatkan nutrisi yang cukup. Dapatkan karbohidrat, vitamin, mineral dan sebagainya yang cukup. Setiap sumber nutrisi yang dinyatakan mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendiri. Badan kita tidak akan mampu menghadapi satu cabaran latihan dengan berkesan sekiranya badan kita tidak diisi dengan keperluannya.

Kelima: Rehat dan sembuh

Rehat adalah satu kewajipan bagi semua atlet. Bukanlah tidak berehat itu menandakan kita ini hebat dan kuat. Tetapi, tidak berehat menandakan kita jahil tentang sistem badan kita sendiri. Selagimana badan kita tidak menunjukkan ia segar untuk sesi yang seterusnya, rehatlah.

Kesimpulan

Demam merupakan respons badan yang tidak kritikal terhadap sesuatu intensiti dalam latihan beban. Pastikan kita memenuhi keperluan biologi badan supaya kita kekal sihat dan mencapai keberkesanan latihan.

 

Rujukan

  1. Exercise-Related Heat Exhaustion
  2. How to Tell When a Fever After Excessive Exercise Is Too Serious to Ignore

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: