Tiada Masa Untuk Bersenam? Paksa Diri Baca Artikel Ini!

Penulisan kali ini lebih kepada bebelan saya terhadap mereka yang rasa tiada masa untuk jaga kesihatan. Setiap orang mempunyai masa dan prioriti masing-masing. Itulah realiti menjadi seorang manusia. Meskipun anda kekurangan masa, kita masih boleh cari masa. Meskipun anda rasa sibuk, anda tetap kena jadikan senaman dan pemakanan sebagai salah satu prioriti dalam kehidupan anda walaupun anda berasa hidup anda paling sibuk dalam dunia.

Bayangkan begini, jika ada seorang yang menawarkan anda sejuta ringgit untuk menurunkan berat badan, anda mesti boleh (secara tiba-tiba) cari masa untuk menguruskan badan. Itu lagi satu realiti kehidupan di mana apabila wang menjadi taruhan, segala yang mustahil kini “boleh jadi”. Sedangkan, kesihatan kita sebenarnya tidak ternilai.

Kursus Kecergasan 2024

 

Baca artikel yang lepas dahulu sebelum membaca artikel yang ini. Klik di sini untuk membaca.

 

Mulakan Minggu Ini

Lihat betul-betul dalam seminggu dan rancang jadual yang anda boleh cuba pakai. Tetapkan terus masa bila anda nak pergi ke gym, masa bila nak berlatih, masa nak beli barang masakan, masa untuk memasak, dan siapkan makanan.

Nak mula jadi konsisten memang akan memakan masa dan tenaga sedikit. Paling penting, pengorbanan. Mungkin anda kena banyak berkorban masa berehat anda. Tahu atau tidak, kita sebenarnya banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar. Masa yang kita guna untuk melayar internet boleh kita gunakan untuk prioriti yang lain.

Cuba ambil 5-10 minit setiap malam untuk merancang perjalanan keesokan harinya. Anda akan sedar yang sebenarnya anda boleh lakukan proses untuk jadi lebih aktif walaupun berasa sibuk. Bukannya lama pun masa yang diperlukan untuk berlatih dan menyediakan makanan “diet”.

Anda rasa masih sibuk? Cuba jujur, anda layan Netflix? Ataupun, mungkin banyak tonton video di YouTube? Paling tidak pun, suka tengok apa yang terbaru di Instagram dan TikTok? Gantikan masa anda melayari aplikasi-aplikasi tersebut dengan memfokuskan diri anda pada misi kecergasan.

Memang Betul Tak Dapat Pergi Ke Gym

Baiklah, anda dah cuba ubah macam-macam tapi memang betul dan muktamad, anda tak dapat pergi ke gym untuk bersenam. Jadi, apa nak buat sekarang? Kena baring meniarap, tutup muka dengan bantal, dan terus menangis?

Bagi mereka yang memang tak boleh nak pergi bersenam, tak boleh nak dedikasikan satu masa untuk melakukan sebarang latihan, nasihat saya ialah anda boleh banyakkan bergerak. Itu sahaja yang anda boleh lakukan sekarang.

Senaman dengan bebanan melatih otot anda supaya jadi lebih kuat dan membesar, sekali gus membakar kalori lebih banyak untuk jangka masa panjang. Tapi, anda tak dapat nak pergi ke gym. Jadi, anda boleh lakukan kardio seperti berjogging untuk membakar kalori dan menurunkan berat badan. Isunya, jogging pun tak ada masa. Oleh itu, banyakkan bergerak sepanjang hari.

Daripada anda naik motor pergi ke kedai membeli barangan dapur, cuba jalan kaki. Daripada menaiki lif dan eskalator, cuba naik tangga. Daripada tengok Netflix sambal baring di ruang tamu, tengok juga Netflix tapi sambal berjalan.

Fungsi anda berjogging adalah untuk tambahkan pergerakan harian. Sama dengan contoh-contoh saya berikan tadi. Jika anda boleh kurangkan masa duduk dan lebihkan masa bergerak (atau paling tidak pun berdiri), anda akan bakar lebih banyak kalori daripada tidak berbuat apa-apa. Orang kata, biarlah ada walaupun sedikit daripada tak ada langsung.

Kesimpulan

Nak atau tidak, ia terserah kepada diri anda. Jika anda betul-betul mahukan perubahan, anda kena bertindak. Walaupun anda bayar orang lain untuk dorong anda pergi bersenam, ajar anda cara diet terbaik, jadi penyorak dan pemberi semangat, kalau diri anda sendiri tidak bertindak, maka tiada guna dan tiadalah hasil yang boleh dikecapi.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: