Obesiti: Makan Malam Menggemukkan?

Ramai sangat setuju dan mengaku bahawa kita sebagai rakyat Malaysia sering makan mengikut sedap selera perut. Apa yang enak dan lazat, kita hanya tahu sebat sahaja! Tanpa menghiraukan kesan-kesan buruk daripada memakan dengan cara ini, pepatah “mencegah lebih baik daripada merawat” mula terucap daripada mulut apabila diri sudah terkena penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, masalah buah pinggang, dan lain-lain.

Teringat saya akan satu keratan akhbar yang mengatakan Malaysia mempunyai rakyat obesiti yang paling banyak di Asia. Pencapaian yang membanggakan (menyindir)! Kini, masalah obesiti bukan lagi hanya tertumpu pada golongan dewasa, malah kanak-kanak turut mendapat tempiasnya dengan ibu ayah yang menyangkakan anak-anak Michelin sebegini sangat comel. Akibatnya, kes-kes kronik semakin bertambah dalam negara kita.

Aiman Radzo - Obesiti: Makan Malam Menggemukkan?

Sarapanlah Bagai Seorang Raja

Sarapan pagi selalu dikatakan sebagai raja (ataupun makan sarapan pagi seperti seorang raja) dalam pemakanan seharian. Kemudian, diikuti dengan makan tengahari seperti anak raja pula (bermakna kurang mewah atau banyak seperti sarapan pagi). Akhir sekali, makanlah pada waktu malam dengan kadar yang sikit seperti seorang yang hidup susah. Adakah anda mengikut cara pemakanan sebegini?

Sarapan pagi merupakan makanan pertama yang masuk ke dalam badan anda untuk hari tersebut selepas bangun daripada tidur. Selepas 6-8 jam berpuasa dalam tidur (mungkin 12 jam bagi yang tidur ekstrem), sarapan adalah ejen tambah nilai tenaga pertama anda. Walaupun dalam tidur, badan anda tetap berfungsi dan menggunakan tenaga. Glukos (datang daripada karbohidrat dalam pemakanan kita) adalah amat penting untuk fungsi otak dan ia juga merupakan sumber tenaga utama badan kita.

Cuba tanya diri anda sendiri, mengapa selama ini selalu dikatakan bahawa makan lewat malam akan menggemukkan? Kalau anda jawab “sebab badan kurang aktiviti, jadi makanan disimpan sebagai lemak”, itu bukanlah jawapan yang tepat. Makan malam bukanlah punca utama kegemukan. Oleh sebab kaitan antara makan malam dan kegemukan adalah sangat kuat dalam pemahaman rakyat, mereka yang ingin kurus akan mula takut untuk makan selepas jam tertentu (kebiasaannya selepas 8 malam) lantas sanggup berlapar walaupun tertinggal makan pada jam-jam sebelumnya.

Kursus Kecergasan 2024

Mengapa Makan Malam Dipersalahkan?

Pepatah “sarapan pagi sebagai raja, makan tengahari sebagai anak raja, makan malam sebagai orang miskin” hanyalah satu peraturan yang saya kira bukanlah salah, tapi bukanlah tepat. Pada waktu bila anda makan bukanlah menjadi persoalan besar kerana yang memainkan peranan penting dalam pengawalan berat badan adalah kuantiti makanan yang anda ambil.

Memakan sarapan pagi dengan kuantiti banyak ada faedahnya, dan begitu juga dengan memakan malam dalam kuantiti sedikit. Cuma, anda perlu paham bagaimana cara sebegini boleh bantu anda mengurangkan berat badan (atau menggemukkan bagi yang suka makan malam). Konsep asas kita mudah sahaja, anda menjadi gemuk kerana anda makan lebih daripada keperluan badan. Itu sahaja, bukanlah kerana anda kerap makan malam! Tapi, kaitannya amat rapat.

Jangan Makan Selepas Jam Lapan!

Kalau anda benar-benar mahu turunkan berat badan buat selama-lamanya, anda perlu cipta satu sistem di mana anda boleh konsisten dalam pemakanan dan latihan anda. Saya sering lihat mereka yang menyekat pemakanan sebelum jam-jam tertentu tidak bertahan lama, manakala mereka yang berjaya pastinya mampu menurunkan berat badan (hanya sebab mereka telah mengurangkan jumlah tenaga masuk, bukan kerana makan selepas jam 8 mensihirkan anda dengan kegemukan).

Makanan Segera

Untuk menjadi konsisten dengan sesuatu tabiat, anda perlulah selesa juga dengan sistem tersebut. Untuk membina sistem yang anda selesa, jadi anda perlu kitarkan cara anda berdasarkan badan anda. Cara orang lain menjadi untuk badan mereka (dan mungkin badan anda juga), maka janganlah cepat mengalah kalau anda mengikut mana-mana cara di internet tapi tidak berhasil.

Sebagai peringatan, kegemukan berlaku apabila anda menyumbat makanan, bukannya memakan makanan (ada perbezaan antara kedua-dua itu). Pada masa bila anda makan tidaklah menjadi isu hangat sebenarnya. Badan anda sentiasa berfungsi 24-jam dan bukannya terhenti sewaktu anda tidur. Metabolisme badan tetap berjalan untuk memperbaiki sel-sel dalam badan anda dan proses-proses ini tetap memerlukan tenaga (yang turut datang daripada pemakanan).

Kaitan Antara Sarapan, Makan Lewat Malam, Dan Kegemukan

Walaupun saya katakan yang kuantiti pemakanan adalah penentu berat dan bukannya waktu makan, faktor masa makan turut memberikan sedikit impak terhadap psikologi  (cara pemikiran kita). Apabila anda lapar di awal hari, ia akan mengganggu prestasi kerja harian anda. Berlapar pada waktu lewat malam pula, anda disajikan dengan peluang-peluang untuk memakan di gerai mamak 24-jam bersama rakan-rakan sambil menonton perlawanan bola.

Kalau anda suka tinggal sarapan pagi, badan anda lebih mudah lesu kerana kandungan glukos (tenaga) dalam badan sangat kurang. Anda turut akan menjadi leka dalam kerja dan mudah mengantuk. Apabila terlalu berlapar pada waktu pagi, anda mula menggantikan atau menjinakkan kelaparan anda dengan kuantiti makan yang banyak pada waktu tengahari ataupun malam.

Nafsu Makan

Bagi saya, ini bukan satu masalah lagi. Cuma, kelaparan ini hanya menaikkan nafsu makan anda untuk mengambil makanan-makanan yang sebenarnya tidak perlu dan hanyalah berlebihan. Sekiranya anda makan sewaktu tidak lapar (dan berhenti sebelum kenyang), anda tidak akan memakan dalam kuantiti yang lebih. Dengan mengambil sarapan pagi, anda dapat membendung sedikit nafsu makan anda pada waktu lain.

Mereka yang kerap makan lewat malam juga selalunya makan atas alasan; 1) bosan dan 2) tertekan. Memakan dalam keadaan ini menjerumuskan diri anda untuk memakan terlebih kuantiti. Kita sudah tahu bukan, apa yang akan terjadi kalau makan melebihi kuantiti diperlukan? Peningkatan lemak. Cara anda berfikir dan tahap minda anda sebenarnya turut mempengaruhi berat badan anda.

Selain itu, memakan lewat malam bermakna anda meluangkan masa untuk makan dan bukannya untuk tidur. Apabila anda kurang tidur, ini akan mengganggu pembakaran lemak kerana kekurangan rehat. Tekanan terhadap badan akan meningkat kalau anda kurang berehat. Tekanan seperti ini bukan sahaja mengganggu pembakaran lemak, malah boleh meningkatkan lagi penyimpanan lemak! Bermakna, makan malam bukanlah penjahat yang kita cari. Ia hanya menjadi tempat untuk kita tunding jari meletakkan salah.

Rumusan

Waktu makan bukanlah menjadi masalah kegemukan kerana kuantiti anda makan lebih penting serta kualiti makanan yang anda makan itu turut menyumbang kepada bentuk badan anda. Walaupun begitu, waktu anda makan memberi efek terhadap psikologi dan mood anda. Perasaan bosan dan tertekan sering membawa ramai individu untuk makan melebihi keperluan bagi memuaskan hati.

Meninggalkan sarapan akan meningkatkan tahap tekanan dan kelaparan anda yang secara tidak langsung menyebabkan anda makan lebih pada waktu lain, terutama pada waktu malam. Kurang kawalan nafsu makan juga merupakan faktor kenaikan berat dan obesiti. Memakan lewat malam sememangnya boleh membawa ke arah kegemukan. Cuma, bukan kerana anda makan malam tetapi sebab keadaan yang menyebabkan anda terlajak makan.

Berat badan anda naik bukan sebab makan malam, tetapi:

  1. Memakan melebihi yang diperlukan
  2. Kurang waktu berehat
  3. Tekanan mental dan fizikal
  4. Gagal mengawal nafsu makan
  5. Kurang pemahaman tentang asas pemakanan
Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: