Susah Nak Jadi Makin Kuat? Mungkin Ini Puncanya!

Anda sudah buat bermacam-macam cara untuk bina otot dan juga tingkatkan kekuatan dalam gym. Anda telah dedikasikan sejumlah masa yang tertentu untuk memfokuskan hidup anda dengan latihan. Bukan itu sahaja, rutin pemakanan anda juga telah dicantikkan. Kiranya, anda dah bagi yang terbaik pada latihan dan pemakanan dengan harapan anda akan dapat hasil yang lumayan daripada usaha anda.

 

Cuma, kisah sedih ringkas, ia tak menjadi. Makin lama anda berlatih, jadi makin lemah atau susut pula badannya. Visi yang anda nampak dalam kepala anda kelihatan makin jauh pula daripada genggaman.

 

Janganlah berasa anda keseorangan kerana ramai juga yang mengalami masalah yang sama di mana mereka telah berikan yang terbaik, tetapi hasil tidak datang bergolek seperti yang diharapkan. Kesan daripada situasi begini, ramai mula berasa ingin menyerah kalah. Sedangkan, mungkin punca kepada masalah-masalah ini hanyalah benda kecil yang boleh diperbaiki dengan mudah sahaja.

 

Kursus Kecergasan 2021

 

Baca artikel sebelum ini dengan menekan di sini untuk dapatkan info lebih banyak tentang latihan kekuatan!

 

Anda Terlalu Tegas Dengan Rutin

 

Ya, disiplin amat penting untuk latihan. Terasa malas pun, tetap pergi berlatih. Badan dah penat, tapi teruskan beri 100% dalam latihan. Bagus dah macam itu, tetapi badan kita pun boleh “merajuk” macam pasangan kita juga. Kalau pasangan kita merajuk, kita tak marah-marah sebab nanti boleh keruhkan lagi keadaan. Kita berikan dia masa untuk bertenang dan layan perasaan (bak kata orang putih, healing).

 

Samalah macam badan kita, sesekali badan kita akan “merajuk” dengan kita. Berikan badan kita masa untuk dia bertenang kembali dan jadi lebih kuat nanti. Kalau anda teruskan hentam dengan latihan mestikan badan serta otak sudah menjerit “cukup!” untuk beberapa sesi, nescaya lama-kelamaan prestasi anda akan menurun dan merudum.

 

Angkat berat sahaja bukan bermaksud anda akan jadi makin kuat. Setiap sesi anda yang berintensiti tinggi akan merosakkan otot anda. Untuk membantu mereka terbina semula dan jadi lebih kuat, anda perlukan waktu rehat yang mencukupi. Cadangan saya, anda boleh cuba pergi mengurut, pergi spa, keluar berjalan ambil angin, makan-makan bersama ahli keluarga, atau buat senaman yang habis ringan dan menyeronokkan bagi anda untuk melancarkan lagi darah dan tingkatkan kualiti pemulihan otot anda.

 

Anda Belum Mahir Asas

 

Biasanya, punca utama susah nak dapat hasil daripada latihan adalah kerana anda terlalu ego untuk tambahkan bebanan tanpa mahirkan teknik asas dahulu. Lama-kelamaan nanti, badan anda akan terbiasa dengan teknik yang tidak cantik dan ini mendorong kepada risiko kecederaan yang lebih tinggi.

 

Teknik yang tidak cantik juga bermaksud anda tak dapat gunakan otot anda dengan cara paling berkesan untuk pergerakan yang dilakukan. Kalau ringan-ringan lagi, tak apalah sebab tak nampak sangat kesan daripada teknik buruk. Cuba kalau dah berat yang agak tinggi (bagi diri anda), mesti teknik anda nampak makin buruk dan membahayakan.

 

Utamakan kualiti daripada kuantiti dan ego. Fokus kepada latihan yang membuatkan anda jadi lebih baik, bukannya latihan yang buat anda nampak macam hero paling kuat dalam gym anda.

 

Anda Tak Bagi 100% Kerja

 

Beberapa contoh ayat yang biasa kita dengar:

  1. “Tapi bang, saya dah makan banyak masih tak naik berat!”
  2. “Tapi bang, saya dah main berat tapi tak boleh jadi kuat lagi!”
  3. “Tapi bang, saya dah tidur banyak tapi tak besar juga!”
  4. “Tapi bang, saya dah ambil barang tapi badan tak jadi pun!”

 

Ada banyak lagi ayat “tapi bang”, cuma yang ini mungkin yang biasa saya dengarlah keluar daripada mulut-mulut sahabat dan para pembaca yang lain. Maka, apabila diteliti semula dan ditanya kembali tentang rutin latihan, pemakanan, rehat, mahupun apa-apa barangan tambahan mereka guna, jelas ternyata mereka hanya sangka yang mereka dah beri 100% terbaik tetapi hakikatnya masih berlatih dengan intensiti cap ayam, pemakanan haru-biru, tidur tidak berkualiti, dan lain-lain.

 

Ini boleh dikira sebagai salah satu punca terbesar ramai susah nak kecapi matlamat mereka. Ramai yang tak pandai lagi nak mengagak tahap intensiti latihan dan porsi pemakanan mereka. Kerja agak-mengagak ini adalah suatu skil yang perlu dimahirkan (seperti mana skil-skil yang lain juga). Jika anda tak biasa mengagak, anda perlukan orang yang boleh bantu berikan panduan supaya anda tidak terbuat silap.

 

Kesimpulan

 

Kadang-kadang, nak jadi lebih baik bukannya susah sampai memerlukan cara-cara yang kompleks memeningkan kepala. Alihkan fokus anda kembali kepada perkara-perkara asas yang belum lagi anda mahirkan. Lambat-laun, hasil akan datang juga tatkala tiang sudah kukuh teguh berdiri.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: