Apa Jadi Apabila Anda Berhenti Gym

Pernah tertanya apa yang akan berlaku apabila anda berhenti daripada berlatih? Bukan apa, kalau tahu bolehlah anda jadi semangat untuk tidak berhenti. Kalau tiada sebab dan penghalang daripada latihan, saya syorkan anda terus berlatih sampai umur lanjut.
Entri kali ini adalah berdasarkan pengalaman saya sekarang, di mana saya sekarang sudah tidak berlatih dengan betul selama tiga bulan. Hanya tiga bulan sahaja sudah mendatangkan kesan-kesang ini, apa lagi kalau berhenti lama? Jadi, apa yang berlaku selepas tiga bulan tanpa memegang besi? Mari kita lihat!
Komposisi Badan Berubah
Walaupun berat badan saya tidak menurun daripada masa akhir latihan saya dahulu (dalam 74kg), yang paling ketara berubah adalah komposisi badan. Sungguh jelas pengurangan jisim otot dan kenaikan lemak. Saiz paling ketara yang hilang adalah pada tangan. Dada juga sudah mengumpul lemak, sama dengan perut. Kalau pakai baju, memang perut ke depan! Dulu tak macam ini. Pejal-pejal otot, jangan cakaplah, lagi tiada.
Hormon Badan Tidak Seimbang
Saya sebelum mula latihan gym ada masalah gyno di bahagian kanan dada, di mana bahagian puting dada akan menjadi tajam dan sakit apabila ditekan. Selepas konsisten untuk beberapa tahun mengangkat berat dan menjaga makan, masalah ini tiada lagi dan saya fikir saya sudah terlepas daripada masalah itu. Apabila saya berhenti berlatih, ia muncul kembali. Ini adalah tanda kepada ketidakseimbangan hormon, sama dengan penyimpanan lemak pada perut (hormon kortisol tinggi).
Kekuatan Dan Ketahanan Merundum
Ini yang paling ketara, di mana ketahanan merosot dengan cukup pantas. Kekuatan mungkin ada tapi dalam 60% sahaja daripada kekuatan asal. Ketahanan memang out! Saya berpraktikal di Slim River, dan setiap petang akan ada latihan kondisi badan. Saya tak mampu lakukannya meskipun berlatih tiap hari. Makin hari makin lemah, dan saya tidak boleh teruskan. Sedangkan, ianya hanya latihan bodyweight sahaja. Ketahanan amat penting untuk prestasi harian. Kekuatan susah sikit untuk hilang dengan banyak.
Pesanan Saya
Satu sahaja pesanan saya kalau anda sudah mula berlatih dan mendapat hasil, jangan berhenti dan mengalah. Mungkin ada masa ada sibuk dengan kehidupan dan terpaksa tinggal sebentar latihan. Ingat, kata kuncinya adalah SEBENTAR! Bukan selama-lamanya. Jadi, selepas habis urusan tersebut, kembali dengan latihan anda. Macam saya, mungkin sampai hujung September sahaja sebegini. Kemudian, saya cuba kembali dengan latihan sebab saya dah kembali berpraktikal di Bangi. Jumpa anda di sana!