Bilakah Anda Patut Mula Gunakan Whey Atau Mass?

Dua jenis suplemen yang biasa orang cari masa nak mulakan latihan di gym ialah whey dan mass gainer. Artikel hari ini ditujukan khas kepada mereka yang bercadang untuk menggunakan suplemen untuk pertama kali. Kita cuba jawab persoalan yang timbul dalam fikiran ramai pemula gym kini.

 

Sebelum apa-apa, saya hendak beritahu siap-siap yang suplemen bukanlah benda yang wajib untuk anda ambil bagi membina otot ataupun membakar lemak. Daripada namanya sahaja “suplemen” menentukan yang ia hanyalah penambahan untuk mencukupkan apa yang kurang.

 

Kursus Kecergasan 2021

 

Apa Yang Kurang?

 

Baiklah, kita cuba mendalami situasi yang memerlukan anda untuk menggunakan suplemen. Seperti yang kita tahu, ia hanya digunakan untuk mencukupkan apa yang kurang. Sebelum itu, anda sudah baca entri sebelum ini berkaitan cara saya lakukan comeback dengan penurunan lebih 13kg? Jika belum, klik di sini untuk membaca.

 

Untuk membina otot, anda kena pastikan yang anda menjaga pemakanan, latihan, dan juga rehat. Jika anda tidak menjaga ketiga-tiga aspek ini, memang susah untuk anda mendapatkan hasil yang berbaloi.

 

Tetapi, jika dah cukup menjaga kesemuanya, buat apa nak gunakan suplemen lagi?

 

Sebab itulah dikatakan suplemen digunakan untuk mencukupkan yang kurang. Kalau asas yang tadi semua cukup tenang dan mendapat hasil yang memuaskan hati, suka tak perlu untuk mencari suplemen lagi.

 

Andaikata yang mana-mana aspek tadi terkurang dari segi kuantiti ataupun kualiti, maka anda boleh gunakan suplemen untuk mencukupkan apa yang kurang.

 

Whey Atau Mass?

 

Dek kerana kita bercakap tentang whey dan mass gainer, jadi kita akan lebih tumpukan kepada aspek pemakanan. Mungkin hari lain nanti kita akan bercakap tentang suplemen yang membantu tingkatkan prestasi latihan dan kualiti tidur.

 

Jika anda pergi ke mana-mana kedai suplemen bina badan, rata-rata akan terus bertanya sama ada anda mencari protein whey ataupun mass gainer. Anda tahu kenapa? Sebab dua produk ini dikira paling asas sekali untuk suplemen membina badan.

 

Perbezaan Antara Protein Whey Dan Mass Gainer

 

Paling mudah untuk anda faham, whey mempunyai kandungan kalori yang jauh lebih rendah (dalam 1 hidangan) berbanding mass gainer. Suplemen protein whey memfokuskan kepada kandungan protein (dan itulah yang kita mahukan sebenarnya).

 

Mass gainer hanyalah protein yang tinggi dengan kalori (datang dari karbohidrat yang banyak), dicipta untuk memenuhi kehendak hardgainers di luar sana.

 

Bila Nak Gunakan Yang Mana?

 

Jika anda tidak mempunyai sebarang masalah untuk makan banyak, kemungkinan besar anda hanya menghadapi masalah untuk mencukupkan protein sahaja. Anda tiada masalah untuk mendapatkan jumlah kalori yang besar.

 

Kita semua bersetuju yang itu makanan tinggi protein memerlukan kos yang tinggi. Bukan itu sahaja, penyediaannya juga agak remeh dan memakan masa.

 

Oleh yang demikian, anda digalakkan untuk guna protein whey bagi mencukupkan lagi sedikit kandungan protein yang kurang daripada kemasukan harian anda melalui pemakanan sedia ada.

 

Beralih kepada masalah lain pula, mungkin anda kekurangan masa untuk makan banyak atau mungkin anda memang tak mampu untuk makan begitu banyak, lantas anda tidak dapat mencapai keperluan kalori dan protein harian. Ini menyebabkan anda susah untuk membesarkan badan.

 

Agak-agak yang mana patut anda gunakan? Protein whey yang rendah dengan kalori ataupun mass gainer yang padat dengan kalori dan protein? Sudah pasti anda patut gunakan mass gainer!

 

Kunci kepada kenaikan berat badan adalah pada kebolehan kita untuk melebihkan pengambilan kalori melebihi keperluan badan. Saya faham tak semua orang mampu untuk makan banyak, mungkin terhalang dari segi masa atau pun ekonomi.

 

Disebabkan inilah terciptanya produk seperti mass gainer yang membantu anda untuk mencapai sasaran dengan lebih mudah.

 

Pengguna Suplemen Tidak Menjanjikan Apa-Apa

 

Anda kena ingat yang suplemen hanyalah mencukupkan dan bukannya ubat ajaib yang menjanjikan keberkesanan.

 

Bayangkan, anda nak besarkan badan tetapi hanya makan sekali sahaja sehari. Maka anda beli mass gainer dengan harapan ia akan menaikkan berat badan anda. Tetapi kita lihat, yang pemakanan asas tadi pun tidak cukup, maka suplemen tersebut harus mencukupkan untuk kuantiti yang banyak.

 

Saya kira tak ramai sanggup menggunakan suplemen pada kuantiti yang banyak kerana ingin berjimat. Maka secara tak langsung, suplemen juga tidak cukup untuk menampung kekurangan asas yang tadi.

 

Pemakanan pun tak cukup, suplemen pun tak cukup, jadi apa yang cukup? Cukup-cukuplah membazir duit, dan fokus kembali kepada yang asas.

 

Kesimpulan

 

Selagi mana anda tidak amalkan pemakanan yang baik dan konsisten dengan rutin pemakanan tersebut setiap hari, cadangan saya tak perlulah untuk mencari suplemen lagi.

 

Yang paling penting, gunakan duit anda untuk perkara yang lebih prioriti dahulu seperti keluarga dan keperluan diri sendiri. Jika ada bajet yang lebih, barulah pergi cari suplemen.

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Penggemar sukan melibatkan kekuatan fizikal, Aiman Radzi kini kembali lagi untuk berkongsi perjalanan dan pendapatnya tentang latihan dengan pembaca semua!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: