Hubungan Bersenam dan Kesihatan Mental

Mari kita mulakan pembacaan kita dengan satu kenyataan penting, iaitu bersenam dapat mengekalkan kesihatan mental pada tahap yang optimum.

Oleh yang demikian, artikel ini akan membincangkan hubungan antara bersenam dan kesihatan mental. Sejauh mana bersenam memberi kesan yang positif kepada mental? Sekiranya dapat dibuktikan adanya hubungan yang signifikan, maka tidak keterlaluanlah untuk dikatakan semua manusia wajib bersenam.

Kursus Kecergasan 2024

Apa itu kesihatan mental?

Apa itu kesihatan mental? Kenapa kesihatan mental perlu dititik berat?

Menurut myhealth, “Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat.”

Kita perlu sedar bahawa manusia bukan sahaja berpotensi untuk mendapat penyakit fizikal, malah kita juga boleh terkena penyakit mental. Sebab itulah kita perlu menjaga kesihatan mental kita. Orang yang ada penyakit mental, dia tidak akan mampu berfungsi dengan baik sebagai seorang manusia biasa, pekerja dan ahli masyarakat. Maksudnya apa? Dari segi manusia biasa, dia tidak memenuhi tuntutan biologikalnya seperti makan dan minum. Contohnya, orang yang mengalami kemurungan.

Apa itu kemurungan? Mudahnya, kemurungan ialah keadaan manusia yang bersedia secara melampau sehingga memudaratkan dirinya sendiri. Pernahkah anda perasan bahawa orang yang mengalami kemurungan biasanya kurang makan, tidak menikmati hobinya dan lain-lain? Inilah contoh seorang pesakit mental. Dia tidak mampu berfungsi sebagai manusia biasa.

Selain itu, pesakit mental juga tidak mampu berfungsi sebagai seorang ahli masyarakat. Dia tidak mampu bekerja dengan efektif. Dia juga tidak boleh bergaul (bukan introvert!). Dari segi sumbangannya kepada masyarakat, memang dia tidak mampu.

Sebab, menurut definisi yang disampaikan oleh myhealth tadi, seorang manusia yang ada kesihatan mental merupakan mereka yang mampu bekerja dalam tekanan, mampu menyumbang kepada masyarakat dan sebagainya. Makna mudahnya, dia menurut sifat manusiawinya. Ini kerana memang lumrahnya manusia semacam itu. Manusia mesti bekerja, bersosial dan sebagainya. Kalau semua itu tidak dilakukan, itu menunjukkan ada petanda tidak sihat pada keadaan mentalnya.

Baik, sekarang kita hendak belajar tentang hubungan antara bersenam dan kesihatan mental. Adakah bersenam dapat membantu mempertingkatkan kesihatan mental kita? Mari kita sama-sama telusuri.

Kajian-kajian yang pernah dilakukan tentang bersenam dan kesihatan mental

Pertama, kajian yang dilakukan oleh Gabriel Rodríguez-Romo dan lain-lain (2023) mengenal pasti hubungan antara bersenam dan kesihatan mental. Hasilnya, memang terbukti bahawa terdapat hubungan yang positif antara bersenam dan kesihatan mental. Bukan itu sahaja, kajian mendapati bahawa seseorang yang lebih kerap bersenam lebih baguslah keadaan mentalnya. Maka, kita dinasihatkan untuk meningkatkan kekerapan bersenam walaupun dengan kadar intensiti sederhana. Maksudnya, anda tidak perlu pun bersenam teruk-teruk setiap hari. Anda berjoging selama 10-15 minit setiap hari pun sudah elok.

Kedua, Ashish Sharma, Vishal Madaan dan Frederick D. Patty (2006) telah membincangkan kesan bersenam terhadap kesihatan mental secara biologikal dan sosial. Bersenam membantu meningkatkan kesihatan mental kerana bersenam itu sendiri meningkatkan kemampuan kognitif kita. “Badan cergas, minda cerdas”, bukan? Seterusnya, bersenam membantu kita mempunyai jadual harian yang sihat. Ini kerana bersenam membuatkan kita mengantuk. Jadi, kita akan lebih cenderung tidur mengikut jam yang sesuai. Kesannya, jadual tidur kita pun bertambah baik menyebabkan kesihatan badan kita pun bertambah baik. Akhirnya, kesihatan mental kita dipertingkat.

Ketiga, Yingying Yao dan lain-lain (2022) menghasilkan satu kajian yang bertajuk The Relationship between Exercise and Mental Health Outcomes during the COVID-19 Pandemic: From the Perspective of Hope. Kajian ini meninjau 2390 rakyat China tentang kesan bersenam di rumah terhadap kesihatan mental. Rata-rata mereka bersetuju bahawa bersenam dapat mengelakkan diri daripada kemurungan, kegelisahan dan mana-mana penyakit yang seangkatan dengan itu. Ini membuktikan senaman yang ringan-ringan di rumah pun wajib dilakukan.

Keempat, Kai Wu dan lain-lain (2023) mengkaji kesan bersenam terhadap kesihatan mental dalam kalangan pekerja-pekerja bidang keprofesionalan. Kajian ini juga mendapati bahawa bersenam dapat meningkatkan kesihatan mental dan yang paling penting, bersenam berjaya mengurangkan stres bekerja. Pekerja-pekerja profesional ini rata-ratanya bekerja dalam situasi yang amat tertekan, maka mereka memerlukan kekuatan mental. Jadi, bersenam merupakan ubatnya.

Kelima, Aditya Mahindru, Vradeep Patil dan Varun Agrawal (2023) mencadangkan bersenam dijadikan salah satu daripada komponen psikoterapi. Kajian ini telah mengenal pasti kepentingan bersenam terhadap kesihatan mental dalam kalangan rakyat India. Bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada terapi mental, dikehendaki supaya jangan tinggal bersenam. Itulah merupakan antiobiotik yang paling dekat dengan kita.

Kesimpulan

Berdasarkan lima kajian yang disorot, benarlah bersenam memberi kesan yang signifikan lagi positif terhadap kesihatan mental. Ketika kita bersenam, banyak kimia dalam badan kita yang berubah seperti serotonin, endorfin dan hormon stres. Ini memberikan perasaan nikmat pada mental lalu menyebabkan kita lebih bahagian dan positif. Selain itu juga, bersenam meningkatkan estim diri kita. Kita akan ada keyakinan diri yang lebih tinggi. Maka, bersenamlah dengan kerap. Jangan tinggal walaupun 10 minit.

Sadiq Salihoddin

Saya mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia penulisan. Saya telah mengarang empat naskhah buku. Sekarang, saya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya dalam bidang manuskrip Melayu. Kini, saya juga merupakan atlet amatur gusti lengan kategori paling berat (105kg+).

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: