Bolehkah Turunkan Berat Jika Berat Naik Sebab Ubat?

Preskripsi ubat tertentu (bukan semua) seperti yang digunakan untuk merawat kencing manis, tekanan darah tinggi, gangguan psikiatri, sawan dan migrain boleh menyebabkan penambahan berat badan. Mengikut kajian, purata kenaikkan berat badan adalah 1 hingga 3 kg. Tetapi kebanyakan kes, bukan disebabkan ubat itu sendiri yang menyebabkan penambahan berat badan, namun, ia adalah kesan sampingan daripada ubat tersebut. Sesetengah ubat merangsang selera makan dan akibatnya, anda makan lebih banyak. Selain itu, mari kita fahami faktor lain penyebab kenaikkan berat badan disebabkan ubat-ubatan serta cara mengawal berat badan.

 

Kursus Kecergasan 2025

Punca kenaikkan berat badan disebabkan ubat-ubatan

1- Peningkatan Selera Makan

Beberapa ubat boleh merangsang selera makan seseorang yang menyebabkan pengambilan kalori yang lebih tinggi. Kenaikan berat masih disebabkan kalori surplus.

2- Penurunan Metabolisme

Beberapa ubat-ubatan boleh mempengaruhi metabolisme tubuh, menjadikannya pembakaran kalori lebih perlahan. Apabila metabolisme perlahan, pembakaran kalori dan lemak menjadi kurang efisien, yang boleh menyebabkan penambahan berat badan.

3- Gangguan Sistem Endokrin

Ubat-ubatan tertentu boleh mempengaruhi sistem endokrin, termasuk hormon seperti insulin, leptin, dan ghrelin. Perubahan dalam keseimbangan hormon ini boleh menyebabkan gangguan dalam pemprosesan makanan dan rasa kenyang, yang akhirnya boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

4- Pemeliharaan Air dan Pembengkakan

Beberapa ubat mungkin menyebabkan pengekalan air dalam badan atau pembengkakan, yang boleh memberi kesan kepada berat badan, walaupun ia sebenarnya adalah peningkatan cecair bukannya lemak.

5- Perubahan Emosi

Ubat-ubatan tertentu boleh mempengaruhi mood dan perasaan seseorang, yang mungkin mengakibatkan penggunaan makanan sebagai cara untuk mengatasi stres atau emosi negatif. Ini boleh membawa kepada peningkatan pengambilan kalori dan akhirnya obesiti.

Cara mengawal berat badan

Jika berat badan anda meningkat disebabkan oleh pengambilan ubat, adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda sebelum memulakan sebarang program penurunan berat badan. Doktor boleh membantu anda merancang pendekatan yang selamat dan berkesan, serta memastikan bahawa program penurunan berat badan tidak mempengaruhi kesan ubat yang sedang diambil. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh membantu anda menurunkan berat badan jika berat badan meningkat disebabkan oleh ubat:

1- Konsultasi dengan Doktor

Perbincangkan keadaan kesihatan anda dengan doktor dan pastikan bahawa penurunan berat badan adalah selamat dan sesuai bagi anda. Doktor boleh memberi panduan khusus berdasarkan ubat yang sedang diambil dan keperluan kesihatan individu anda.

2- Perubahan Gaya Hidup

Terdapat beberapa perubahan gaya hidup yang boleh membantu dalam penurunan berat badan. Ini termasuk pemakanan yang seimbang, senaman berkala, dan tidur yang mencukupi. Anda boleh mohon dirujuk ke pegawai dietetik atau pakar pemakanan untuk mendapatkan panduan berkaitan pemakanan yang sesuai dengan keperluan anda.

3- Pengurangan Kalori

Sekiranya anda mengalami penambahan berat badan, anda perlu mengurangkan pengambilan kalori harian anda. Ini boleh dicapai dengan mengawal saiz porsi, memilih makanan yang lebih sihat, tinggi protein untuk cepat kenyang dan tinggi fiber untuk kenyang lama.

4- Senaman Berkala

Senaman adalah penting dalam penurunan berat badan. Dapatkan jurulatih peribadi adalah pilihan terbaik untuk menentukan jenis senaman yang sesuai dengan kesihatan anda dan anda perlu untuk mencapai matlamat senaman yang dicadangkan oleh jurulatih anda.

5- Sokongan Psikologi

Penurunan berat badan boleh menjadi cabaran emosi. Pertimbangkan untuk mendapatkan sokongan psikologi atau berbincang dengan seorang kaunselor bagi membantu anda mengendalikan stres, emosi, dan belajar cara mindful eating. Senaman juga boleh kawal stress.

6- Pantau Kemajuan

Pantau berat badan dan kemajuan anda secara berkala. Ini boleh membantu anda mengekalkan motivasi dan membuat perubahan jika perlu.

7- Sabar

Penurunan berat badan yang berkesan memerlukan masa. Jangan terlalu tergesa-gesa atau terlalu teruk terhadap diri sendiri. Berikan diri anda masa untuk mencapai matlamat berat badan yang sihat.

 

KESIMPULAN

Jika berat badan anda bertambah dan anda yakin bahawa ubat mungkin menjadi punca, adalah penting anda tidak berhenti mengambil ubat atau beralih kepada dos yang lebih rendah tanpa berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu. Menghentikan atau menukar ubat anda boleh mengakibatkan keadaan kesihatan yang menjadi serius tidak dirawat, yang boleh membahayakan kesihatan anda. Dalam kebanyakan kes, doktor akan menukar kepada ubat lain yang tidak menyebabkan penambahan berat badan terutamanya jika ia berkaitan dengan ubat-ubatan yang sedang diambil. Jika ubat tidak boleh ditukar, maka doktor boleh memberi nasihat tentang perubahan diet yang akan membantu menggalakkan anda bersenam untuk mengimbangi sebarang perubahan berat badan. Apa yang penting anda perlu yakin penurunan berat masih boleh berlaku walaupun anda mengambil ubat jika anda mampu kawal kalori yang masuk dan tingkatkan pembakaran kalori.

RUJUKAN

  1. Drugs Commonly Associated With Weight Change: A Systematic Review and Meta-analysis, PMID: 25590213
  2. Drugs That Affect Body Weight, Body Fat Distribution, and Metabolism

Eda Sharip

Eda Sharip

Eda Sharip ialah Jurulatih Peribadi bertauliah. Beliau mempunyai sarjana muda dalam Ijazah Sains Biologi USM yang amat meminati bidang biokimia dan molekular. Kini berkhidmat di Makmal USM Kubang Kerian. Pengalaman sebagai jurulatih bermula 2019 bersama Dietfit Malaysia. Personal Trainer di Gym sekitar kota bharu serta pengasas Program Virtual Dumbbells sejak 2021.

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: