Ryan W. Ferguson: Dari banduan kepada jurulatih peribadi

Selamat tahun baharu, semua! Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat dan tetap semangat untuk menempuh tahun baharu ini dengan azam dan cita-cita yang lebih segar.
Bagi tahun baharu ini, saya menjadi lebih memilih dalam membaca. Hujung-hujung bulan Disember tahun lepas, saya ke Tsutaya Bookstore di Pavilion Bukit Jalil untuk mencari buku tentang dunia kecergasan. Rata-rata pembacaan saya tentang kecergasan adalah dari Internet sahaja, jadi saya bercadang untuk membeli buku yang bagus.
Maka, saya terjumpa buku ini:
Pada mulanya, saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya cuma ingin mempelajari dan mendalami teknik-teknik bersenam yang berbeza. Tetapi, buku ini bukanlah buku yang biasa-biasa. Kalau anda boleh mendapatkannya, saya syorkan sangat-sangat anda membacanya.
Siapa Ryan Ferguson?
Ryan Ferguson merupakan seorang lelaki yang pernah masuk penjara atas tuduhan palsu. Saksi yang dibawa ke mahkamah telah menuduhnya membunuh sehingga dia dimasukkan ke dalam penjara selama hampir 10 tahun.
Akhirnya, saksi yang menuduhnya dulu itu mengaku bahawa penyaksiannya hanyalah palsu terhadap Ryan Ferguson dan kemudian dia dikeluarkan dari penjara serta-merta.
Dalam buku Stronger, Faster, Smarter ini, Ferguson menceritakan pengalaman bersenamnya di dalam penjara dan bagaimana dia menjadi tegap dengan senaman-senaman kalistenik sahaja!
Ketika Ferguson dimasukkan ke penjara, ayahnya berpesan kepadanya.
“Ayah tahu kau tak bersalah. Tapi, apa-apa pun, kau harus jadi lebih kuat, lebih tangkas dan lebih bijak.”
Pesanan ayah inilah yang menjadi tajuk bukunya. Pesanan ini juga sudah sebati dengan diri Ferguson sehingga menjadi satu falsafah hidup baginya. Falsafah ini adalah diperincikan seperti berikut:
- Lebih kuat
Lebih kuat dalam konteks ini bermaksud lebih kuat dari segi fizikal dan mental. Seseorang itu haruslah bersenam untuk menguatkan tubuh badannya agar lebih terpelihara daripada bahaya bergaduh dan sebagainya.
Kekuatan fizikal ini juga membolehkan seseorang itu melindungi orang lain pula. Seperti yang ditulis dalam buku, Fight or Flight? Lawan atau lari? Kata Ferguson, dalam penjara, kita hanya ada dua pilihan, iaitu melawan atau melarikan diri. Ferguson memilih untuk melawan. Untuk melawan, kita memerlukan kekuatan.
- Lebih tangkas
Produktiviti adalah aspek terpenting dalam membangunkan diri seseorang dan juga sesuatu masyarakat itu. Kita perlu cepat membangun, cepat berkembang dan cepat beransur maju. Jangan menjadi seorang yang sambil lewa dan lambat bertindak.
- Lebih bijak
Baca buku, sambung belajar, dengar audio siar dan seumpamanya adalah antara aspek paling penting untuk menambah ilmu diri sendiri.
Senaman Ferguson dalam penjara
Kata Ferguson, sepanjang dia berada di dalam penjara, enam pergerakan ini sahaja yang kita perlukan untuk menjadi kuat. Kalau hendak lengkapkan dengan senaman-senaman berfokus yang lain pun okey, tetapi enam senaman utama ini, wajib dilakukan, iaitu:
- Squat
- Deadlift
- Pull up
- Bent over row
- Bench press
- Shoulder press
Senaman-senaman ini, Ferguson biasa lakukan dalam bentuk:
- Latihan litar (Zaki Khan, Adib Farhan)
- Tri-set – tiga senaman berurutan
Kenapa Ferguson melakukan senaman yang berbentuk ketahanan otot (endurance) ini? Sebab, dia bukan sahaja ingin menjadi kuat, malah tangkas pada masa yang sama. Anda bayangkan sekiranya anda adalah atlet tinju atau seni bela diri campuran. Anda tidak boleh berlatih sepertimana atlet orang kuat (strongman) kerana anda memerlukan ketangkasan dalam kekuatan.
Sebagai seorang banduan yang berhadapan dengan berbagai-bagai penjenayah, Ferguson harus menjadi kreatif. Dia perlu kuat seluruh badan, bukan hanya pada satu-satu otot sahaja.
Kajian tentang tri-set
Dua kajian ini (kajian 1, kajian 2) membuktikan bahawa tri-set dapat mengurangkan masa bersenam dengan memberikan kesan yang efektif untuk perkembangan otot berserta kekuatannya.
Kesimpulan
Bersenam dapat menemukan seseorang itu dengan makna kehidupan. Jadi, jangan anda ingat, bersenam ini semata-mata angkat berat dan jadi kurus, tetapi bersenam ini juga adalah proses menjadikan seseorang waras dan bahagia.
Bersenamlah!