Kembali Ke Dunia Kecergasan Selepas Lama Menyepi Aug26

Kongsi

Kembali Ke Dunia Kecergasan Selepas Lama Menyepi

Sekian lama tidak menjejakkan kaki ke dalam dunia kecergasan dan latihan di gimnasium (sekali sekala ada lah menjenguk masuk), kini saya mencuba kembali untuk betul-betul comeback ke dalam industri ini. Apakah alasan utama untuk saya kembali? Kesihatan dan kekuatan.

 

Saya nak kongsikan beberapa benda yang saya perasan berlaku selama saya tidak menyentuh besi dan apa pula yang berlaku selepas saya berlatih semula (nota untuk semua, saya dah mulakan latihan sekitar 1 bulan saat entri ini ditulis). Saya kira dapatan saya ini boleh memberikan sedikit motivasi, perancangan, dan keinginan yang membuak kepada anda semua untuk menceburi (kembali) bidang kecergasan.

Kursus Kecergasan 2020

Saya mula berhenti berlatih secara serius pada tahun 2017 di mana pada tahun itu saya menjalani latihan praktikal sebagai seorang pelajar fisioterapi di UniKL RCMP, Ipoh. Sebagai pelajar praktikal, kami perlu bergerak ke sana dan ke sini (hospital kerajaan dan pusat swasta). Saya sendiri perlu jalani latihan praktikal di Perak, Kedah, dan sekitar Kuala Lumpur. Masa untuk saya berlatih dah berkurangan. Jika saya berlatih pun, hanya untuk beberapa hari/bulan, dan saya akan berhenti semula.

 

Jom kita baca sedikit apa yang saya perasan berlaku sepanjang tempoh saya berhenti, mula, berhenti, dan mula kembali:

 

1- Berat Badan

Semestinya, apabila anda tidak lagi melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, maka secara tak langsung badan anda akan cuba adapt dengan situasi yang baru. Dengan kata lain, badan anda akan kurangkan jisim otot, lemak pula akan meningkat kerana anda tidak membakar sebanyak kalori semasa anda kuat bersenam. Pada permulaan saya berhenti berlatih, berat saya turun daripada 75kg kepada 70kg dan setelah berbulan-bulan berlalu, berat saya naik sedikit demi sedikit (naik lemak dan otot mengecil) sehingga 80kg. Apabila saya memulakan latihan kembali dan melakukan separa diet, saya menjadi terkejut apabila menimbang berat selepas sebulan latihan. Berat badan saya menaik lagi sehingga 85kg, tetapi perut saya masih kekal dalam jarak ukur lilit yang sama seperti sebelum ini.

 

Di sini, kita boleh lihat kenaikan jisim otot (kerana kemasukan air dan adaptasi stimulus latihan) selepas anda konsisten semula dengan latihan seperti dahulu. Saya juga perasan yang ramai orang lain turut mengalami benda yang sama (kenaikan berat selepas berhenti berlatih untuk tempoh lama) dan kini saya mengalaminya. Teruskan sahaja fokus pada diet yang anda lakukan kerana berat yang naik, kemungkinan besar hanyalah air yang memasuki ke dalam otot sebagai tindak balas kepada stimulus latihan yang diberikan.

 

2- Kekuatan

Kalau anda dah tak berlatih lama, mestilah anda tak boleh nak angkat berat lagi macam biasa dulu. Pada permulaan saya berlatih kembali, saya hanya mampu gunakan kurang daripada 50% daripada kekuatan asal sebelum berhenti latihan. Jika saya biasa gunakan 120kg untuk bench press, saya kena mulakan dahulu sekarang pada 40kg sahaja (itupun terasa berat). Tetapi, badan kita mempunyai satu benda yang kita panggil sebagai muscle memory di mana otot kita mempunyai ingatan akan latihan yang dilakukan sebelum ini. Jika dulu anda mengambil masa 1 tahun untuk berlatih supaya dapat mengangkat 100kg, tidak mustahil anda kini mengambil masa 2 bulan sahaja untuk angkat berat yang sama meskipun dah lama berhenti.

 

Untuk diri saya sendiri, saya perasan yang setiap kali saya mencuba comeback (walaupun untuk sebulan dua), tahap kekuatan saya dapat mencapai lebih tinggi daripada sebelum masa saya berhenti dahulu. Seperti masa comeback saya yang pertama dahulu, tak pernah saya cuba lakukan untuk squat 140kg melebihi 3 rep, tetapi saya berlatih dalam 2 bulan (selepas berhenti untuk 1 tahun pada masa itu) dan saya mampu buat 6 rep 140kg untuk berkali-kali set. Sama dengan comeback yang kali ini, saya dapat buat lebih lagi daripada apa yang saya buat sebelum berhenti. Ini membuatkan saya berfikir, adakah “berhenti lama” ini hanyalah dikira sebagai rehat yang lama untuk pemulihan badan kerana dahulu saya berlatih sehingga menyebabkan stress yang tinggi pada tubuh saya ini? Mungkin jika saya tidak berhenti berlatih, saya mencapai plateau yang akan menjadi susah untuk saya pecahkan? Apa-apa pun, yang pastinya apabila anda konsisten semula berlatih meskipun dah lama berhenti, anda akan capai kembali tahap kekuatan dalam masa yang singkat.

 

3- Sendi Tulang

Dahulu memang seronok untuk pergi ke gym dan berlatih. Itulah aktiviti yang saya akan buat, bukan untuk mengisi masa, tetapi sebagai langkah persediaan untuk kerjaya masa hadapan. Tetapi, yang menjadikannya tidak seronok adalah apabila badan saya kerap kali sakit. Orang kata, main gym untuk menjadikan kita sihat. Kenapa pula saya berasa sakit-sakit? Ini berlaku kerana latihan untuk menyihatkan badan tidak sama dengan latihan untuk mereka yang ingin menjadi atlit. Sebagai atlit, anda bertanggungjawab untuk memastikan anda berlatih pada tahap maksimum untuk mencapai prestasi terbaik. Orang biasa tak perlukan latihan sebegini. Atlit tidak kisah bersusah dan bersakit, asalkan mereka menang dalam pertandingan atau mereka mendapat pulangan yang memuaskan hati daripada usaha mereka kerana itulah kerjaya mereka.

 

Selepas saya berhenti lama, sendi-sendi saya tidak lagi sakit. Kalau tidak, lutut, siku, dan bahu saya adalah sendi yang paling bermasalah sekali ketika berlatih dan seusai berlatih. Tak seronok tuan-tuan dan puan-puan semua untuk menjalani kehidupan seharian dengan sakit-sakit sendi dek kerana overstress mengangkat bebanan berat. Walaupun begitu, sendi memanglah tidak sakit lagi tetapi macam mana pula dengan kesihatan dalaman? Saya berhenti terus daripada melakukan sebarang latihan fizikal. Orang kata, menternak lemak di rumah dengan penuh kesabaran. Berbaloikah saya gadaikan kesihatan dalam untuk mendapatkan keselesaan sendi (yang boleh merosot juga dek kerana otot yang lemah)?

 

Jadi, untuk comeback kali ini, saya merancang untuk berlatih dengan lebih bijak. Saya cintakan latihan kekuatan untuk mengangkat bebanan berat pada julat repitisi 5-6 rep, tetapi saya minat juga dengan latihan bina badan yang memberi fokus kepada julat 10-20 rep. Apa yang saya akan buat kali ini adalah mengetepikan terus latihan bawah 3 rep dan cubaan 1 rep maksimum. Mungkin kerana dahulu saya kerap mencuba 1RM, lalu ia memakan diri saya kembali.

 

Setakat ini sahaja perkongsian saya pada hari ini. Jika sekarang saya boleh konsisten berlatih kembali, tak mungkin saya tak boleh konsisten untuk menulis semula seperti dahulu, bukan?

Aiman Radzi

Aiman Radzi

Berasal dari seorang yang bersaiz kecil dan pemalu, kini menjadi lebih kuat dan berani selepas bergiat aktif dalam dunia kecergasan. Aiman Radzi merupakan seorang pelajar Fisioterapi dan peminat sukan bina badan serta angkat berat. Beliau turut mempunyai sijil sebagai NASC Fitness Instructor dan sering terlibat dengan program kecergasan untuk orang awam. Beliau juga merupakan pengamal urutan sukan.

Bagi Aiman Radzi, bersenam bukan sekadar untuk menguatkan fizikal, tetapi turut untuk membina ketahanan mental. Minatnya dalam ilmu senaman dan rehabilitasi menjadikan beliau seorang yang bermotivasi tinggi ketika berlatih dan cekap dalam penstrukturan sistem latihan.

Facebook