Kerjaya sebagai Pelajar Sains Sukan: Apakah Prospeknya?

Anda telah mendaftarkan diri ke dalam program Sains Sukan di sebuah universiti. Tetapi, anda masih-masih tertanya-tanya, program Sains Sukan ini boleh jadi apa?

Anda jangan risau, program ini banyak yang anda boleh pergi. Mari kita lihat satu-satu!

Kursus Kecergasan 2024

Program Sains Sukan Belajar Apa?

Hampir setiap universiti di Malaysia, terutama sekali Universiti Awam menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan. Contohnya, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan sebagainya.

Ijazah Sains Sukan ini mengajar anda tentang asas kecergasan, anatomi dan fisiologi badan, pengurusan dan pentadbiran sukan, nutrisi, psikologi, biomekanik, kejurulatihan dan seumpamanya. Ijazah ini mempersiapkan pelajar untuk berkeahlian dalam setiap aspek kecergasan.

Sebenarnya, banyak kerjaya yang anda boleh pilih sebagai lepasan program Sains Sukan:

Guru Pendidikan Jasmani

Di Universiti Kebangsaan Malaysia, program Sains Sukan yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Sukan dan Rekreasi). Jadi, sekiranya anda enrol di dalam program Sains Sukan di Fakulti Pendidikan, anda akan terdedah kepada dunia mengajar atau pedagogi. Selepas anda bergraduat, anda boleh mohon menjadi cikgu subjek Pendidikan Jasmani dan mengajarnya di sekolah-sekolah.

Bagaimana sekiranya anda tidak mempunyai Ijazah Pendidikan, tetapi hanya Ijazah Sains Sukan dan anda mahu menjadi guru Pendidikan Jasmani di sekolah? Dalam kes ini, anda perlu mengambil DPLI, iaitu Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah. Terdapat banyak universiti yang menawarkan program ini seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan lain-lain. Programnya hanya setahun ke setahun setengah sahaja. Program ini adalah untuk mendedahkan anda bagaimana hendak mengajar di sekolah. Ingat, kemahiran mengajar adalah kemahiran yang tersendiri, anda tidak boleh terus hendak mengajar tanpa menguasai asas-asas mengajar.

Jurulatih Kecergasan

Bukan sekadar jurulatih kecergasan di gim sahaja, anda boleh menjadi jurulatih dalam sukan-sukan yang anda minat. Sekiranya anda meminati bola sepak, anda boleh menjadi jurulatih bola sepak di kelab-kelab kecil di daerah anda. Begitu juga dengan sukan-sukan lain seperti ragbi, balapan dan sebagainya.

“Bagaimana saya hendak menjadi jurulatih sedangkan saya tidak pernah menjadi juara?”

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, mengajar adalah satu seni yang tersendiri. Sama juga dengan kemahiran menganalisis dan menyelidik. Sebagai lepasan program Sains Sukan, anda dibekalkan dengan kemahiran menganalisis dan menyelidik kerana anda telah terdedah kepada asas dan teori Sains Sukan.

Secara ringkasnya, teori ialah satu generalisasi tentang sesuatu. Teori bukanlah hadir tanpa bukti, tetapi bersifat eksperimental dan saintifik. Dengan ilmu yang begini, anda boleh membantu para atlet untuk merekod prestasi, menawarkan cadangan latihan dan sebagainya. Anda juga boleh menjadi kaunselor kepada atlet. Sebab, atlet bukan sahaja bertarung dengan fizikal, malah mental. Dan juga, para atlet perlu mendapat dorongan kehidupan kerana masalah kehidupan juga boleh memberi kesan kepada prestasi sukan mereka. Contohnya, kahwin. Sebagai jurulatih atau kaunselor sukan, anda perlu meneliti setiap apa yang dihadapi atlet supaya tidak menjejaskan prestasi sukan mereka.

Apa yang hendak ditegaskan di sini ialah dunia kejurulatihan itu luas. Jangan sempit pada jurulatih gim atau bina badan sahaja. Di Olimpik sahaja dipertandingkan 40 sukan.

Pengurusan Industri Sukan

Selain daripada berada di atas padang, anda juga boleh berada di dalam pejabat! Anda boleh bekerja di Kementerian Belia dan Sukan, Institut Sukan Negara dan sebagainya. Anda boleh menjadi pekerja yang bertanggungjawab dalam menentukan perancangan industri sukan di negara kita.

Peniaga Makanan Tambahan

Anda minat dengan supplement seperti whey protein dan sebagainya? Anda boleh meniaga produk-produk seperti itu. Anda pernah lihat Daily Bekal yang menghasilkan makanan segera yang sihat? Perniagaan begitulah yang anda boleh bangunkan. Had pasaran anda adalah kepada mereka yang aktif bersukan sahaja. Anda sebagai lepasan Sains Sukan sudah pasti ada jaringan dengan mereka.

Pengusaha Gim

Bukan gim angkat berat sahaja, anda juga boleh buka gim-gim yang mempunyai audiensnya yang tersendiri seperti CrossFit, Muay Thai, Kickboxing, Taekwondo, Strongman, Rock Climbing dan sebagainya.

Sukan-sukan yang dinyatakan mempunyai peminatnya yang terhad, tetapi mereka sangat rapat. Contohnya, Rock Climbing. Gim Rock Climbing di Pavilion Bukit Jalil mendapat sambutan yang agak memberangsangkan.

Ahli Akademik

Sekiranya anda memang tidak boleh terpisah dengan dunia akademik seperti saya, maka anda boleh jadi ahli akademik. Sambung belajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran. Cara begini juga anda boleh banyak menyumbang kepada industri sukan negara. Anda boleh hasilkan buku dan tulisan di majalah demi memandaikan anak bangsa tentang sukan. Samalah dengan apa yang saya buat ini!

Kesimpulan

Masalahnya bukan tidak ada kerja. Tetapi, anda perlu fleksibel dalam mengaplikasikan kemahiran anda di pelbagai industri. Jangan sempitkan kebolehan anda pada industri-industri tertentu sahaja. Kemahiran anda boleh terpakai di macam-macam tempat! Jangan sia-siakan.

Nota: Minat sukan bukan bermakna lemah dalam akademik. Ketahui kisah atlet yang berjaya dalam akademik: Kuat Bersukan Lemah Akademik

Sadiq Salihoddin

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: