Latihan Dan Diet Semua Sama Tapi Hasil Berbeza

Kenapa boleh jadi situasi begini? Walaupun anda dan kawan anda mengamalkan latihan yang sama, corak pemakanan yang serupa, jumlah rehat pun cukup, supplement pun beli sekali, tapi hasil yang terjana tidak sama.
Mungkin anda dapat lebih daripada kawan anda, ataupun sebaliknya. Lalu, ini menimbulkan rasa tertanya-tanya (dan iri hati) antara kalian. Apa lagi yang perlu dilakukan untuk anda berdua mencapai sasaran pada kadar kelajuan dan kualiti yang setaraf?
Meskipun anda dah ikut rapat dengan pelan latihan dan pemakanan rakan seperjuangan anda, masih ada beberapa faktor yang akan mempengaruhi hasilnya, dan faktor-faktor ini tidak boleh ditiru.
Baca dahulu yang ini: Kenapa Kita Tiba-tiba Demam Selepas Latihan di Gim?
Genetik
Faktor paling besar yang memainkan peranan terpenting untuk menentukan tahap pencapaian seseorang dalam kembara kecergasan mereka adalah terletak pada genetik mereka. Setiap orang mempunyai set genetik yang berbeza-beza.
Dengan kata mudah, rambut sama hitam, genetik tak sama padu. Kita bertindakbalas dengan kadar berbeza, mempunyai fiber-fiber otot yang tidak sama, tahap hormon yang lain-lain, pembakaran dan pembinaan jisim, dan macam-macam lagi.
Pengalaman
Mungkin kawan anda pernah berlatih sebelum ini, pengalamannya lebih lagi. Pernah dengar tentang memori otot? Ataupun, anda yang pernah berlatih dan buat badan sebelum ini, dan kawan anda mula nak ikut jejak langkah anda. Ini juga memainkan peranan.
Sebab apa? Kalau otot tersebut dah terbina sebelum ini, maka lebih mudah untuk ia terbina kembali meskipun dah lama berhenti latihan. Tapi, ada juga situasi yang anda kena faham di mana orang dah lama berhenti dan mula kembali, tahap kenaikan dia akan perlahan sedikit kerana badannya dah biasa dengan stimulus latihan. Orang baru mula, badan masih segar. Apa dia bagi, badan semua serap.
Kebolehan Untuk Pulih
Dia kerja apa, anda kerja apa? Dia kerja daripada pukul berapa, anda pula macam mana? Dia masih bujang atau dah berumahtangga, anda sekarang, berapa anak yang ada? Dia balik rumah, bersepah atau tidak dengan najis-najis kucing? Anda balik rumah mungkin santai ada robot vakum tolong kemaskan semua.
Jangan main-main dengan tahap pemulihan melalui perbezaan kualiti hidup. Mungkin anda tak nampak kesusahan dan keletihan mental yang dialami rakan anda. Itu juga boleh menjejaskan proses mendapatkan hasil daripada latihan mereka.
Kejujuran
Anda rasa kawan anda yang berlatih sekali (tapi hasil padu, jauh lebih padu) betul-betul jujur dengan anda? Sendiri mahu fikir tentang yang ini, saya malas nak urai panjang. Rasanya, anda pun faham apa yang saya nak sampaikan. Kalau tidak faham lagi, mungkin anda kena ambil masa lebih lama sedikit dalam dunia latihan.
Jujur sahajalah, anda gunakan supplement yang ini untuk cepat bina otot. Supplement yang mana? Cuba tekan di sini.
Jangan Menangis di Bucu Katil
Apa yang anda kena fokus adalah anda dan kawan anda sedang lakukan terbaik untuk mendapatkan hasil dan perubahan. Jika kalian dah berikan 100% usaha, maka kelajuan dapatan tak perlu dijadikan sebagai topik bualan utama.
Yang penting adalah anda nampak hasil. Kalau dua-dua tak nampak apa-apa, itu yang kena ambil berat. Ada lah yang mungkin anda (atau dia) tersilap langkah, dan jika ada situasi begini, bantu.