Beban bebas atau mesin senaman: Mana satu yang lebih bagus?

Dua-dua membawa manfaat kepada kita, tetapi pilihlah mana yang sesuai dengan matlamat senaman kita

Ada orang yang lebih suka menggunakan beban bebas (free weight) seperti dumbbell, barbell dan sebagainya. Tidak kurang juga terdapat mereka yang merasakan menggunakan mesin senaman itu lebih baik dan selamat. Persoalannya, mana satu yang lebih bagus? Free weight atau machine?

Kursus Kecergasan 2021

Soalan tersebut pernah ditanyakan kepada Dr. Edward Laskowski, seorang pakar perubatan fizikal dan rehabilitasi. Beliau seorang pembantu pengarah Mayo Clinic dan juga profesor di kolej perubatan, Mayo Clinic. Beliau menjawab, tiada satu pun alat yang paling tepat untuk semua orang. Ada orang yang lebih efektif dengan mesin, ada juga orang yang lebih efektif dengan beban bebas. Bergantung kepada matlamat masing-masing dan teknik kita melakukan latihan beban. Jangan katakan mesin dan beban bebas, resistance band juga sekiranya digunakan dengan betul boleh membina kekuatan otot yang signifikan!

Setiap alat itu pasti memberi manfaat. Beban bebas sangat bagus kerana julat pergerakannya dapat kita kawal sepenuhnya. Hal ini berbeza dengan mesin yang julat pergerakannya agak terhad. Ia bergantung kepada mesin berkenaan. Beban bebas pada masa yang sama dapat membantu menstabilkan keseluruhan badan. Mesin pula lebih selamat kerana julat pergerakannya dikawal sepenuhnya oleh mesin tersebut, kita hanya mengangkatnya sahaja. Maksudnya, kita tidak perlu menstabilkan badan kerana kestabilan sudah disokong oleh mesin.

Ambil contoh mudah. Bayangkan anda melakukan bench press dengan barbell dan bench press dengan smith machine. Apa bezanya? Bench press dengan smith machine pasti lebih mudah dari segi kestabilan.

Perlu diingatkan, teknik lebih penting daripada berbincang tentang alat. Kalau kita menggunakan alat kelas pertama sekalipun, tetapi teknik tidak betul, tiadalah manfaatnya juga, atau manfaatnya minimum sekali. Sibukkan diri kita dengan pembaikian teknik dan pemantapan program senaman. Kalau kita menggunakan resistance band sekalipun, tetapi ada kemajuan yang terperinci dan teknik yang mantap, tetap ia memberi manfaat maksimum.

Cadangan

Sekiranya kita mahu melakukan latihan beban yang berat-berat (heavy), digalakkan untuk bermula dengan beban bebas. Ketika ini, badan kita dalam keadaan segar. Ia juga boleh dipenatkan dengan menstabilkan pergerakan dengan baik. Sekiranya sudah habis sesi yang berat-berat, bolehlah kita menghabiskan program senaman kita dengan menggunakan mesin pula kerana ia jelas lebih selamat. Ini adalah untuk mengaktifkan lebih banyak serat otot  yang tidak diaktifkan ketika menggunakan beban bebas. Sebab itu variasi juga merupakan keperluan.

 

Rujukan

For weight training, is it better to use free weights or machine weights? https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/fitness/expert-answers/weight-training/faq-20058479

Saya seorang penulis yang meminati sukan-sukan yang berorientasikan kekuatan (strength). Saya juga seorang atlet profesional gusti lengan yang bertapak di Kuala Lumpur. Saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan. Saya berharap, perkongsian ilmu dengan cara begini secara tidak langsung dapat memperkembangkan literasi dalam bidang sains sukan umumnya. Selamat membaca!

Facebook 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Share This
error: